Tiada lagi udang galah
Kilang sawit cemari Sungai Kinabatangan
KINABATANGAN: "Tangkap udang galah pakai bubu sekarang tak sama dengan tangkap udang pada 60-an, 70-an dan 80-an dulu. Sekarang nak cari 10 kilogram (kg) seminggu pun susah. Dulu, senang-senang saja boleh dapat 10 kg seminggu.
"Dulu tak ada pencemaran sungai. Walaupun ada orang tebang kayu (balak), taklah sampai jadi macam sekarang. Sekarang ini, walaupun tak ada orang tebang kayu, kiri kanan tebing Sungai Kinabatangan dipenuhi dengan kilang kelapa sawit.
"Sungai ini semakin hari semakin teruk tercemar. Kalau dulu, pasang saja bubu atau pukat di Tinagang, sudah boleh bawa balik udang dan ikan penuh baldi. Sekarang, pasang dua atau tiga malam pun pukat dan bubu kosong saja."
Itulah nada kekecewaan diluahkan Awang Suratman, 56, mengenai kesukaran menangkap ikan dan udang dengan menggunakan peralatan tradisional di Sungai Kinabatangan.
Penduduk Kampung Menanggal itu adalah antara penduduk pelbagai kampung di sekitar Sukau, dekat sini yang menjadikan penangkapan ikan dan udang sebagai satu daripada sumber rezeki mereka selepas kegiatan berkenaan tidak boleh lagi dijadikan sebagai sumber pendapatan utama sejak lebih 20 tahun lalu.
Awang yang menjadikan penangkapan ikan dan udang sebagai sumber ekonomi utamanya pada tahun 1960-an hingga 1980-an menjelaskan, Sungai Kinabatangan sebelum dicemari sisa kelapa sawit bukan setakat menyediakan sumber bekalan air, malah sumber rezeki.
Pelbagai jenis ikan air tawar seperti baung, lampam, keli, sepat dan sebarau yang membiak dengan mudah di sungai itu adalah sumber pendapatan utama beliau untuk memastikan dapur rumahnya sentiasa berasap bagi membolehkan isteri dan 10 anak mampu mendapatkan sesuap nasi.
"Kalau rasa malas hendak ke Tinagang yang agak jauh, saya buang pukat dan pasang bubu di siring (tepi) tebing di kampung saya atau Kampung Melapi atau Kampung Sukau. Insya-Allah, memang ada saja ikan dan udang terperangkap. Bagaimanapun, sekarang saya tak boleh bergantung kepada hasil tangkapan sungai lagi.
"Kalau saya terus bergantung kepada sungai ini, alamatnya dapur rumah saya tak berasap. Sekarang saya terpaksa mencari kerja lain seperti menyewakan bot kepada pelancong yang gemar menyusuri sungai ini untuk melihat gajah pygmy, buaya dan monyet Belanda," katanya kepada Berita Harian.
Sukau, kira-kira 40 kilometer dari pekan Bukit Garam, Kinabatangan adalah kawasan yang kaya dengan pelbagai sumber alam semula jadi yang menyediakan peluang untuk pelancong melihat haiwan liar seperti gajah pygmy, orang utan, ular sawa dan buaya serta monyet Belanda di kiri kanan tebing sungai.
Ada sekurang-kurangnya lima pusat pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi di sepanjang tebing sungai berkenaan dari Kampung Melapi hingga Kampung Sukau.
Penduduk Kampung Melapi, Kamsah Ahmad, 27, berkata sebagai generasi terkini nelayan air tawar di sungai itu, beliau hanya sekadar mampu mendengar kehebatan Sungai Kinabatangan.
"Saya mewarisi kerja bapa saya. Sekarang memang susah untuk dapat 10 kg udang galah dalam seminggu. Air sungai yang macam teh tarik memang tak menjanjikan tangkapan.
"Kadang-kadang memang ada waktunya hasil tangkapan meningkat tetapi selalunya, saya lebih kerap menarik bubu yang kosong tanpa udang galah," katanya.
Beliau mendakwa, sejak daerah ini dimajukan sebagai antara kawasan perladangan kelapa sawit terbesar di Sabah, pembukaan hutan untuk perladangan itu menyebabkan kebanyakan kawasan tebing Sungai Kinabatangan dicemari akibat hakisan.
Kamsah menjelaskan, udang galah menyediakan harga agak menarik berdasarkan gred, iaitu gred A berharga RM25 satu kg manakala gred B (RM20), gred C (RM15) dan gred D (RM10).
Beliau mendakwa, penduduk kampung, terutama nelayan di sungai berkenaan sudah berputus asa memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pencemaran sungai berkenaan.
"Buang masa saja kalau buat aduan. Memang ada pegawai jabatan itu datang ambil contoh air tetapi setakat itu sajalah. Sungai terus keruh. Pencemaran terus berlaku. Udang galah semakin kurang. Ikan semakin pupus. Kami terus menderita," katanya.