Rabu, Disember 26, 2012

FAMA BELI DUKU DARI PEKEBUN ELAK LAMBAKAN BUAH

Fama Terengganu beli duku dari pekebun elak lambakan buah

KUALA TERENGGANU 25/12/2012- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membeli sebanyak 15 tan metrik buah duku bernilai lebih RM20,000 bagi mengelak lambakan buah-buahan di negeri ini.

Pengarah Fama negeri, Hasan Jusoh berkata selain itu pihaknya juga membeli buah durian yang sedang gugur di negeri ini dalam usaha menambah pendapatan para pekebun tempatan.

"Kita beli buah-buahan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan buah-buahan itu tidak mengalami lambakan seperti empat tahun lepas yang menyaksikan sehingga buah tersebut hitam tidak dimakan,"

katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hasan berkata Fama membeli buah-buahan tempatan, terutamanya buah duku untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan beberapa bandar utama di negara ini yang mempunyai permintaan lebih tinggi.

"Harga pasaran di Lembah Klang dan lain-lain tempat dilihat lebih baik berbanding harga jualan di Terengganu," katanya menambah harga duku di Terengganu kini antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram.

Menurut Hasan pihaknya membeli buah duku di beberapa kawasan pengeluarannya seperti di Hulu Terengganu dan Serada di Kuala Terengganu dengan harga antara RM1.10 hingga RM1.30 sekilogram.

Bagaimanapun, Hasan berkata masalah banjir di negeri itu ketika ini telah menyukarkan usaha pihaknya mendapat bekalan buah.

"Dalam keadaan hujan, buah duku tidak dapat dipetik kerana dibimbangi buah tersebut mudah lerai, rosak dan petani akan mengalami kerugian," katanya.

Beliau berkata tujuan Fama membeli buah-buah tersebut bertujuan memastikan petani dan pengeluar buah mendapat harga terbaik.

"Kita sentiasa prihatin terhadap nasib petani termasuk mengatasi masalah orang tengah dan mengatasi masalah lambakan buah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan