Sabtu, Ogos 21, 2010

PENDUDUK PANGSAPURI DAKWA SAKIT KEPALA AKIBAT ALAT PEMANCAR TELEKOMUNIKASI

Penduduk Pangsapuri Dakwa Sakit Kepala Akibat Alat Pemancar Telekomunikasi

GEORGE TOWN, 20 Ogos (Bernama) -- Seramai 600 penduduk pangsapuri Krystal Villa di sini membantah pemasangan alat pemancar telekomunikasi yang terlalu hampir dengan kediaman mereka kerana ia boleh menjejaskan kesihatan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Krystal Villa Joseph Yap mendakwa kesan daripada pemancar telekomunikasi itu semakin terasa kerana ramai penduduk di situ sering mendapat sakit kepala yang teruk.

"Pemancar yang terletak di atas bangunan hadapan berada 50 kaki sahaja dari panmsapuri kami. Lebih 15 peralatan antena dan piring gelombang mikro pelbagai saiz dipasang di situ sejak dua tahun lepas dan semakin bertambah dari sehari ke sehari," katanya kepada pemberita selepas menyertai penduduk berpiket di pangsapuri berkenaan.

Yap berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Chow Kon Yeow tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Katanya surat bantahan akan diserahkan Majlis Perbandaraan Pulau Pinang (MPPP) bagi mengambil tindakan segera mengalihkan kesemua peralatan pemancar telekomunikasi itu.

Seorang penduduk pangsapuri berkenaan S K Naidu, 35, berkata ibunya sering mengadu sakit kepala yang teruk sejak mereka berpindah ke pangsapuri itu lapan bulan lepas.

Beliau berharap pemancar berkenaan dapat dipindahkan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan