Isnin, Ogos 30, 2010

TIADA LAGI UDANG GALAH DI SUNGAI KINABATANGAN AKIBAT PENCEMARAN ?

Tiada lagi udang galah

Kilang sawit cemari Sungai Kinabatangan

KINABATANGAN: "Tangkap udang galah pakai bubu sekarang tak sama dengan tangkap udang pada 60-an, 70-an dan 80-an dulu. Sekarang nak cari 10 kilogram (kg) seminggu pun susah. Dulu, senang-senang saja boleh dapat 10 kg seminggu.

"Dulu tak ada pencemaran sungai. Walaupun ada orang tebang kayu (balak), taklah sampai jadi macam sekarang. Sekarang ini, walaupun tak ada orang tebang kayu, kiri kanan tebing Sungai Kinabatangan dipenuhi dengan kilang kelapa sawit.

"Sungai ini semakin hari semakin teruk tercemar. Kalau dulu, pasang saja bubu atau pukat di Tinagang, sudah boleh bawa balik udang dan ikan penuh baldi. Sekarang, pasang dua atau tiga malam pun pukat dan bubu kosong saja."

Itulah nada kekecewaan diluahkan Awang Suratman, 56, mengenai kesukaran menangkap ikan dan udang dengan menggunakan peralatan tradisional di Sungai Kinabatangan.

Penduduk Kampung Menanggal itu adalah antara penduduk pelbagai kampung di sekitar Sukau, dekat sini yang menjadikan penangkapan ikan dan udang sebagai satu daripada sumber rezeki mereka selepas kegiatan berkenaan tidak boleh lagi dijadikan sebagai sumber pendapatan utama sejak lebih 20 tahun lalu.

Awang yang menjadikan penangkapan ikan dan udang sebagai sumber ekonomi utamanya pada tahun 1960-an hingga 1980-an menjelaskan, Sungai Kinabatangan sebelum dicemari sisa kelapa sawit bukan setakat menyediakan sumber bekalan air, malah sumber rezeki.

Pelbagai jenis ikan air tawar seperti baung, lampam, keli, sepat dan sebarau yang membiak dengan mudah di sungai itu adalah sumber pendapatan utama beliau untuk memastikan dapur rumahnya sentiasa berasap bagi membolehkan isteri dan 10 anak mampu mendapatkan sesuap nasi.

"Kalau rasa malas hendak ke Tinagang yang agak jauh, saya buang pukat dan pasang bubu di siring (tepi) tebing di kampung saya atau Kampung Melapi atau Kampung Sukau. Insya-Allah, memang ada saja ikan dan udang terperangkap. Bagaimanapun, sekarang saya tak boleh bergantung kepada hasil tangkapan sungai lagi.

"Kalau saya terus bergantung kepada sungai ini, alamatnya dapur rumah saya tak berasap. Sekarang saya terpaksa mencari kerja lain seperti menyewakan bot kepada pelancong yang gemar menyusuri sungai ini untuk melihat gajah pygmy, buaya dan monyet Belanda," katanya kepada Berita Harian.

Sukau, kira-kira 40 kilometer dari pekan Bukit Garam, Kinabatangan adalah kawasan yang kaya dengan pelbagai sumber alam semula jadi yang menyediakan peluang untuk pelancong melihat haiwan liar seperti gajah pygmy, orang utan, ular sawa dan buaya serta monyet Belanda di kiri kanan tebing sungai.

Ada sekurang-kurangnya lima pusat pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi di sepanjang tebing sungai berkenaan dari Kampung Melapi hingga Kampung Sukau.

Penduduk Kampung Melapi, Kamsah Ahmad, 27, berkata sebagai generasi terkini nelayan air tawar di sungai itu, beliau hanya sekadar mampu mendengar kehebatan Sungai Kinabatangan.

"Saya mewarisi kerja bapa saya. Sekarang memang susah untuk dapat 10 kg udang galah dalam seminggu. Air sungai yang macam teh tarik memang tak menjanjikan tangkapan.

"Kadang-kadang memang ada waktunya hasil tangkapan meningkat tetapi selalunya, saya lebih kerap menarik bubu yang kosong tanpa udang galah," katanya.

Beliau mendakwa, sejak daerah ini dimajukan sebagai antara kawasan perladangan kelapa sawit terbesar di Sabah, pembukaan hutan untuk perladangan itu menyebabkan kebanyakan kawasan tebing Sungai Kinabatangan dicemari akibat hakisan.

Kamsah menjelaskan, udang galah menyediakan harga agak menarik berdasarkan gred, iaitu gred A berharga RM25 satu kg manakala gred B (RM20), gred C (RM15) dan gred D (RM10).

Beliau mendakwa, penduduk kampung, terutama nelayan di sungai berkenaan sudah berputus asa memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pencemaran sungai berkenaan.

"Buang masa saja kalau buat aduan. Memang ada pegawai jabatan itu datang ambil contoh air tetapi setakat itu sajalah. Sungai terus keruh. Pencemaran terus berlaku. Udang galah semakin kurang. Ikan semakin pupus. Kami terus menderita," katanya.

9 ulasan:

  1. Rasa kecewa mendengar perkara ini. Jangan disebabkan pencemaran air menrosakkan alam sekitar serta menjejaskan tempat tinggal haiwan di sekeliling. Alam sekitar perlu dijaga untuk kebaikan semua.

    BalasPadam
  2. nampaknya sungai kinabatangan semakin tercemar sehinga menjejaskan hidupan disungai tersebut.

    BalasPadam
  3. pencemaran alam sekitar perlu diatasi. ini bagi menjadikan air sungai bersih dan tidak tercemar. pembangunan memamg perlu dilakukan tetapi, pastikan langkah bagi mengelakkan pencemaran diambil.

    BalasPadam
  4. sungai kinabatangan adalah yang terpanjang di Sabah malah sering menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. oleh itu, JAS wajar melindungi sungai ini dari sebarang aktiviti pencemaran bagi melindungi potensinya sebagai tarikan pelancong dan sumber ekonomi penduduk sekitar. kilang2 yang beroperasi berhampiran patut diberhentikan operasinya serta merta...

    BalasPadam
  5. pencemaran air sungai perlu dipulihkan. pembangunan kawasan perladangan boleh dilakukan tetapi perlu ada langkah diambil bagi mengelakkan pencemaran.

    BalasPadam
  6. cis, berliur pula aku nampak gambar udang galah tu. hehhee:)
    yummy!!

    BalasPadam
  7. Semoga hal ni diberi perhatian sewajarnya oleh pihak2 yang berkaitan. Alam sekitar harus dijaga supaya sumber laut tak pupus.

    BalasPadam
  8. Hentikan pelaksanaan kilang kelapa sawit. Sekarang telah menjadi teruk, susahlah memperbaikan suasana.

    BalasPadam
  9. Itu lah malaysia boleh...malaysia boleh buat apa saja....bagus buat undang-undang baru setiap kampung di sabah, macam kalau ada orang mau masuk kawasan kampung, mesti lapor dulu di ketua kg, buat ainboard basar-basang dakat simpang jalan mau masuk ke kg itu. Tulis di sainboard "Sila jumpa ketua kg, sebarang urusan". Si ketua kg perlu siasat apa tujuan. Suruh orang luar itu minta surat kebenaran dari ketua kg, nyatakan tujuan-tujuan. kalau tujuan orang luar itu datang tidak ngam, usir saja dorang. Guna kekerasan saja, pasal dorang masuk kawasan kita.

    BalasPadam