PATI warga Indonesia yang sudah daftar diminta urus dokumen perjalanan
KOTA KINABALU 1st August, 2011: Pendatang Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang sudah mendaftar dalam program pendaftaran PATI di negeri ini yang bermula sejak 18 Julai dan berakhir kelmarin (31 Julai) diminta supaya segera menguruskan dokumen perjalanan masing-masing.
Konsul Jeneral Indonesia Kota Kinabalu, Soepeno Sahid berkata, selepas program pendaftaran PATI yang berakhir kelmarin, pihak Jabatan Imigresen Sabah akan menjalankan program pengampunan bermula 1 Ogos hingga 31 September depan.
“Kita tidak pasti sama ada Jabatan Imigresen Sabah akan melanjutkan tempoh pendaftaran PATI yang berakhir hari ini (kelmarin) atau tidak, tapi PATI warga Indonesia yang sudah mendaftar perlu bersedia untuk menguruskan pasport atau Sijil Laksana Pasport masing-masing untuk pulang ke Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penerangan mengenai program 5P untuk Tenaga Kerja Indonesia dan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-66 pada 17 Ogos ini yang diadakan kawasan Bangunan Pejabat Konsulat Indonesia Kota Kinabalu, kelmarin.
Katanya, semua cap jari PATI Indonesia sudah tercatat dalam sistem biometrik dalam sistem di Jabatan Imigresen Sabah dan program 5P yang dijalankan di Sabah oleh kerajaan Malaysia mesti dipatuhi oleh PATI Indoensia.
Soepeno berkata, PATI Indonesia yang ingin mendapatkan pasport untuk bekerja semua di Malaysia secara sah harus mempunyai majikan yang menjamin mereka dan mempunyai permit kerja .
Katanya, selepas mendapat jaminan daripada majikan, pejabat konsulat akan mengeluarkan pasport untuk tempoh lima tahun dan bukannya lagi tiga tahun seperti dilaksanakan sebelum ini untuk pekerja Indonesia.
Manakala itu, katanya, mereka yang tidak ada majikan, mahu atau tidak mereka terpaksa pulang dan pihak Konsulat akan mengeluarkan surat Perjalanan Laksana Pasport untuk keperluan mereka pulang secepat mungkin ke Indonesia dengan kos perjalanan ditanggung PATI sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Soepeno berkata, bagi tanggungan keluarga pekerja iaitu isteri dan anak-anak mereka, pihaknya masih menunggu keputusan lanjut daripada Jabatan Imigresen di Sabah.
“Kami ingin supaya tanggungan tenaga pekerja Indonesia dibenarkan terus berada di sini, ini kerana anak-anak mereka pada masa ini mengikuti pendidikan di sekolah Indonesia di Kota Kinabalu dan di beberapa daerah lain di Sabah.
Bagaimanapun, pihaknya memahami bahawa perkara itu di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia, khususnya kerajaan negeri Sabah.