Tawau Diisytihar Daerah Pertama Bebas Kemiskinan Tegar Di Sabah
TAWAU, 1 Ogos (Bernama) -- Tawau hari ini diisytiharkan sebagai daerah pertama di Sabah yang bebas daripada belenggu kemiskinan tegar.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman ketika mengumumkan perkara itu berkata, kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pelbagai program membasmi kemiskinan tegar oleh kerajaan negeri dan persekutuan yang dilaksanakan di negeri itu termasuk perladangan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Mini Estet Sejahtera (MESEJ).
"Hari ini kita mencapai satu sejarah di mana Tawau sudah menjadi sifar miskin tegar dan ini jelas menunjukkan usaha-usaha kerajaan kini sudah berjaya. Usaha ini bukan sahaja kita laksanakan di Tawau, tetapi di seluruh Sabah.
"Semua ini adalah hasil pertolongan kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Saya amat menghargai usaha Sawit Kinabalu, iaitu salah sebuah agensi kerajaan negeri yang telah membantu kerajaan membangunkan ladang-ladang PPRT di Sabah.
"Hasilnya, kita dapat membayar dividen kepada peserta-pesertanya yang terdiri daripada golongan miskin tegar serta menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka sebagai pendapatan tambahan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bayaran dividen sebanyak RM2,400 kepada 393 peserta Ladang PPRT Kalabakan di sini hari ini.
Menurut Musa, kerajaan akan meneruskan usaha berkenaan bagi memastikan semua rakyat di Sabah mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menjadikan negeri itu sifar miskin tegar.
Katanya, bagi memastikan semua program membasmi kemiskinan tegar di Sabah berjalan seperti dirancang, kerajaan negeri menubuhkan "Focus Group" iaitu sebuah jawatankuasa yang memantau program berkenaan.
Beliau berkata ia dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi peringkat negeri manakala pegawai daerah menjadi pengerusi jawatankuasa itu di daerah masing-masing.
Sehubungan itu, Musa menafikan dakwaan pembangkang yang kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk membela rakyat kerana kejayaan projek PPRT telah membuktikan bahawa tuduhan itu meleset.
"Tuduhan golongan tertentu, khususnya pihak pembangkang yang menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri tidak membuat apa-apa terhadap rakyat adalah tidak betul sama sekali.
"Mereka cuma mahu mengelirukan rakyat," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Musa berkata jumlah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) di Sabah pada 21 Julai 2010 ialah 14,770 berbanding 18,294 pada 31 Dis 2009.
Musa berkata kerajaan juga bercadang membina 30 lagi MESEJ pertanian dan MESEJ akuakultur di kawasan yang dikenal pasti sebagai lubuk kemiskinan di Sabah.
Beliau berkata kerajaan persekutuan turut memperuntukkan sejumlah RM103 juta tahun ini bagi melaksanakan Program Bantuan Rumah untuk KIRMT di seluruh Sabah.
----
Sesebuah isi rumah adalah dianggap sebagai miskin tegar sekiranya pendapatan bulanan isi rumah tersebut adalah kurang daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan, iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi nutrisi makanan yang minimumyang membolehkan setiap ahlinya mempunyai tubuh badan yang sihat.
PLI miskin tegar adalah diukur berdasarkan kepada komposisi demografi ahli isi rumah iaitu bilangan isi rumah, umur dan jantina bagi menentukan keperluan diet atau kalori (Keperluan Harian Diperlukan atau Recommended Daily Allowance (RDA) 2004, Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia). PLI juga mengambil kira harga jualan semasa bagi membeli keperluan harian tersebut berdasarkan lokasi mengikut Negeri dan Strata (Bandar atau Luar Bandar). PLI akan dikira berdasarkan kepada keperluan setiap isi rumah dan Indeks Harga Pengguna atau Consumer Price Index (CPI) makanan.
Keperluan Kalori bagi setiap isi rumah dikira berdasarkan kepada struktur demografi setiap isi rumah seperti umur, berat, jantina dan kadar metabolasi badan atau basal metabolic rate (BMR) mengikut paras aktiviti fizikal atau physical activity level (PAL) setiap isi rumah.
Sejumlah 8,725 kalori setiap hari adalah diperlukan (untuk 5 Orang setiap isi rumah) berdasarkan kepada 7 kategori makanan yang meliputi 13 jenis makanan iaitu :
- nasi;
- tepung gandum;
- biskut;
- ayam;
- telur;
- ikan;
- susu;
- minyak masak;
- majerin;
- gula;
- buah-buahan;
- sayur-sayuran; dan
- kacang.
(Berdasarkan kepada Komposisi Nutrisi Makanan Malaysia, IMR 1997)
Sehubungan itu, RM440.00 adalah Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan yang telah ditetapkan untuk isi rumah miskin tegar berdasarkan kepada kiraan di atas.
Definisi Miskin
Sesebuah isi rumah adalah dianggap miskin sekiranya pendapatan bulanan isi rumah tersebut adalah kurang daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK), iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.
PLI bukan makanan adalah manggunakan kiraan Bank Dunia di dalam menentukankeperluan minima perkhidmatan dan bukan makanan. Keperluan ini dikira berdasarkan kepada perbelanjaan keseluruhan isi rumah dengan mengambil kira PLI makanan (isi rumah yang berada pada jurang 10% di atas dan 10% di bawah PLI makanan). Ini akan menunjukkan jumlah perbelanjaan sebenar termasuk komponen bukan makanan untuk membolehkan sesebuah isi rumah tersbut berfungsi di dalam masyarakat.
PLI akan dikira berdasarkan kepada keperluan setiap isi rumah dan Indeks Harga Pengguna atau Consumer Price Index (CPI) makanan dan bukan makanan mengikut Negeri dan Strata (Bandar dan LuarBandar).
PLI bukan makanan akan mengambil kira keperluan asas seperti berikut:
- Pakaian;
- Sewa, Minyak dan Elektrik;
- Perkhidmatan asas;
- Pengangkutan dan komunikasi; dan
- Lain-Lain
Sehubungan itu, RM750.00 adalah Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan bukan makanan yang telah ditetapkan untuk isi rumah miskin berdasarkan kepada kiraan di atas.