KUCHING, 31 Julai (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan terkejut dengan laporan berita yang mendakwa kira-kira 3,000 penduduk kaum Penan di beberapa penempatan di Ulu Belaga di Bahagian Kapit kini menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan.
"Saya sangat terkejut... ini tidak mungkin. Jika tiada sesiapa membantu mereka, kaum Penan masih boleh hidup dan mereka boleh mendapatkan makanan serta haiwan di hutan," katanya kepada pemberita.
Dr Chan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita Jumaat yang memetik Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun bahawa kira-kira 3,000 penduduk Penan di lima penempatan berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan kerana kebun mereka dimusnahkan bintang liar dan kini mereka mengharapkan bantuan kerajaan bagi mengelak daripada ancaman kebuluran.
Entulu bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan enam anggota Parlimen ke Lusong Laku baru-baru ini dan dimaklumkan beberapa ketua kaum Penan mengenai masalah itu dan bergantung kepada ubi kayu, sagu liar dan hasil hutan tetapi kini bekalan tidak mencukupi.
Lima penempatan terbabit ialah Long Abit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malin, dan Long Lidem.
Sementara itu, Anggota Parlimen Ulu Rejang Datuk Billy Abit Joo yang turut terkejut dengan laporan berita itu berkata "kekurangan bekalan makanan tidak bermakna kaum Penan kebuluran."
Terdapat kira 1,000 orang Penan di enam penempatan, katanya.
"Kaum Penan sering menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan kerana kebun mereka musnah tetapi tahun ini mereka mengalami masalah tanaman padi tidak menjadi kerana tanaman mereka musnah teruk akibat serangga dan monyet," katanya.
Katanya hasil tuaian Penan masih boleh bertahan sehingga tujuh bulan.
"Masyarakat Penan akan berkongsi hasil tanaman, memburu binatang dan mencari makanan di hutan seperti sagu sebagai makanan ruji. Mereka tidak akan kebuluran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan