Rabu, November 11, 2009

DR. EWON: KADAR KEMISKINAN DI SABAH MASIH TINGGI

10-11-lead-2

KOTA KINABALU10th November, 2009:Kadar kemiskinan di negeri ini masih tinggi dan memerlukan tindakan bersepadu Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam melipatgandakan usaha-usaha pembasmian kemiskinan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, ini dengan matlamat lebih ramai keluarga miskin dan termiskin keluar daripada belenggu kemiskinan tegar.

“Pelbagai pendekatan baru program pembasmian kemiskinan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seperti Mini Estate Sejahtera (MESEJ), Program Pakej Sejahtera, Program Agropolitan, Peningkatan Ekonomi Setempat dan lain-lain program yang ada kaitan di antara tindakan makro dan mikro ada menjurus kepada peningkatan pendapatan dan dua hidup masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada persidangan Pegawai-Pegawai Daerah yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman di sini, kelmarin.

Dr. Ewon berkata, kementeriannya juga memberikan penekanan kepada pembaikan sistem dan mekanisme penyampaian serta pemantauan yang berkesan ke atas program yang dilaksanakan bagi memastikan kumpulan sasar menikmati faedah yang maksimum dan berkekalan.

Menurutya, KPLB Sabah sentiasa mengkaji keberkesanan program-program pembasmian kemiskinan dari masa ke semasa namun ciri-ciri asas seperti pentingnya peningkatan daya pengeluaran dan pendapatan, penceburan dalam sektor moden.

Selain, aktiviti yang lebih produktif dan menguntungkan, pengwujudan peluang-peluang pekerjaan serta penyediaan kemudahan asas dan sosial untuk meningkatkan mutu kehidupan rakyat akan terus dikekalkan.

Katanya, Kajian Separuh Penggal RMK-9 (2006-2010) jumlah siling yang diperuntukkan kepada KPLB Sabah khususnya di bawah pembasmian kemiskinan adalah RM72.9 juta dan jumlah yang diluluskan pada tahun ini sahaja RM25.0 juta.

“Ini jelas terbukti bahawa peruntukan dan tindakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman amatlah tinggi dan tegas dalam usaha mensifarkan kemiskinan tegar menjelang 2010,” katanya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan