LONDON 10 Nov. - Dunia semakin hampir kehabisan bekalan minyak tetapi Agensi Tenaga Antarabangsa (IEC) tidak mahu membesar-besarkan kekurangan bekalan yang bakal berlaku kerana khuatir berlaku pembelian panik.
Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan berpengaruh dalam menggalakkan IEA supaya menggambarkan kadar penyusutan bekalan daripada telaga minyak sedia ada sebagai lebih rendah daripada kadar sebenar, lapor akhbar Guardian, di sini semalam.
Akhbar itu memetik seorang pegawai kanan IEA sebagai berkata, AS juga menggalakkan IEA yang berpangkalan di Paris dan ditubuhkan untuk tujuan melindungi bekalan sumber tenaga, supaya membesar-besarkan peluang untuk mencari sumber baru minyak.
Dakwaan itu dibuat sebelum IEA pada minggu ini dijadual menyiarkan tinjauan terbarunya, World Energy Outlook mengenai permintaan dan bekalan minyak, yang digunakan oleh banyak kerajaan untuk membantu membentuk dasar mereka mengenai tenaga dan perubahan iklim.
Tinjauan terbaru itu meramalkan pengeluaran minyak boleh ditingkatkan daripada paras semasa, 83 juta tong sehari kepada 105 juta tong sehari.
"Banyak pihak dalam IEA percaya bekalan minyak mustahil dikekalkan pada paras 90 juta hingga 95 juta tong sehari tetapi terdapat kebimbangan panik akan merebak dalam pasaran kewangan jika angka itu diturunkan lagi," kata pegawai itu di laman web Guardian. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan