Selasa, April 06, 2010

KUARI BATU BEROPERASI DI KAMPUNG LOHAN DAPAT BANTAHAN DARI PENDUDUK

Kuari batu beroperasi di Kampung Lohan dapat bantahan dari penduduk

RANAU: Kewujudan sebuah kuari batu yang beroperasi sejak dua bulan lalu dekat

Kampung Lohan Ulu di sini, terus mendapat bantahan keras daripada penduduk kampung-kampung berhampiran.

Mereka mendakwa kegiatan kuari ini bukan saja mencemarkan kualiti udara di persekitaran, malah kebersihan air sungai Lohan berhampiran kilang tersebut juga turut terjejas.

image Jurucakap penduduk kampung terlibat, Wasimin Hj. Rashim memberitahu, surat bantahan rasmi penduduk, telah pun dikemukakan kepada pihak jabatan berkaitan termasuk Pejabat Tanah Daerah, Pejabat Daerah, Jabatan Alam Sekitar dan Wakil Rakyat mereka namun belum ada tanda-tanda tindakan positif untuk menghentikan operasi kuari yang tidak direstui itu.

Menurut Wasimin bantahan terpaksa dibuat atas faktor kesihatan penduduk berhampiran kilang berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari kawasan perumah dan tiada zon penahan (pemisah) antara tapak kilang dengan rumah perumahan.

“Kita mengambil perhatian serius berhubung perkara ini, dan merayu kepada yang berkenaan supaya prihatin dengan mengutamakan kepentingan dalam aspek kesihatan awam dan bukan meraih keuntungan,” jelas Wasimin sambil mendedahkan operasi kilang tersebut turut meningkatkan risiko kerosakan jalan raya berturap akibat laluan lori-lori mengangkut batu dari sungai Lohan menuju kuari.

“Kawasan pertanian dan kolam ternakan ikan air tawar termasuk sistem tagal di beberapa batang sungai turut terjejas” tambah Wasimin.

“Penduduk di sini, merayu kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi masalah ini dan jika sebaliknya, kami terpaksa mengajukan hal itu kepada agnesi lain termasuk ke pengetahuan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)”, tegas Wasimin.

Sebelum ini, seorang jurucakap penduduk Kampung Lohan Ulu yang enggan namanya disiarkan, telah mengetengahkan masalah pencemaran air sungai Lohan (kabut) dan pencemaran bunyi bising akibat operasi kuari berkenaan melalui akhbar tempatan baru-baru ini, yang turut meminta Pegawai Daerah dan Wakil Rakyat di kawasan tersebut supaya turut campur menangani masalah itu daripada berterusan demi keselesaan penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan