Rabu, Disember 08, 2010

JENAYAH KEJAM MELIBATKAN WARGA ASING SEMAKIN KRONIK ?

Tiga Lelaki Myanmar Mati Disembelih

GEORGE TOWN: Tiga lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kesan kelar dan tikaman pada badan mereka di Flat Menara 1C, Lorong Semarak Api 2, Bandar Baru, Ayer Itam di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa sebelum itu terlibat dalam satu pergaduhan yang berlaku kira-kira 9.25 pagi Selasa.

"Mangsa ditemui mati di dua lokasi berasingan dalam rumah yang telah diubah suai oleh pihak pengurusan pangsapuri berkenaan, Dua mangsa ditemui di bahagian dapur dan seorang lagi di bilik tidur.

"Dipercayai salah seorang daripada mangsa bekerja di bahagian penyelenggaraan pangsapuri berkenaan. Ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 20an," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya, polis turut menemui dua bilah pisau iaitu pisau pemotong sayur dan pisau pemotong daging yang mempunyai kesan darah berhampiran dengan mangsa ditempat kejadian.

Gan berkata, polis menahan seorang rakan mangsa yang turut menyewa rumahberkenaan untuk membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 KanunKeseksaan.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi polis di talian 04-2288222 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya. - BERNAMA

Putus Tangan Akibat Mahu Pecah Masuk Rumah Orang

BESUT, 7 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki putus tangan akibat ditetak ketika cuba memecah masuk rumah seorang penternak ikan kolam di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan dekat sini Selasa awal pagi.

Tangan kiri pemuda yang berusia 28 tahun itu putus akibat dilibas dengan parang oleh tuan rumah berkenaan dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata kejadian itu berlaku apabila pemilik rumah berumur 49 tahun itu tersedar daripada tidurnya dan ternampak bayangan seseorang yang cuba memasuki rumahnya melalui tingkap.

"Dengan bersenjatakan sebilah parang, secara senyap-senyap, tuan rumah itu keluar daripada rumahnya dan menghampiri suspek yang sedang leka mengumpil tingkap rumah berkenaan dengan sebatang besi.

"Suspek yang terkejut dengan kehadiran tumah rumah itu cuba menyerang dengan besi berkenaan, namun tangan kiri suspek sempat dilibas dengan parang oleh tuan rumah berkenaan," katanya di tempat kejadian.

Suspek yang didapati berasal dari Setiu terus melarikan diri manakala tangannya yang terputus dari paras pergelangan tangan tertinggal di tempat kejadian.

Kamaruddin berkata tuan rumah tersebut kemudiannya membuat laporan polis.

Polis yang dikejarkan ke tempat kejadian telah menjumpai tangan suspek yang putus itu dan menghantarnya ke Hospital Daerah Besut.

"Seterusnya melalui kesan darah dari tangan suspek yang cedera, suspek akhirnya ditemui berada di sebuah chalet di Bukit Keluang dalam keadaan lemah dan berlumuran darah beserta seorang remaja perempuan berumur 15 tahun yang sedang menangis ketakutan," katanya.

Suspek dan tangannya yang putus kemudiannya dihantar ke Hospial Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kamaruddin berkata suspek sebelum itu telah menyewa chalet berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah yang mahu dicerobohinya.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Remaja itu yang berasal dari Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan mendawa dia adalah isteri suspek.

----

Pengedar Dadah Myanmar Ditembak Mati Di Kawasan Pasar Borong Jinjang

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Seorang warga Myanmar dipercayai pengedar dadah mati ditembak polis di sebuah rumah di kawasan Pasar Borong Jinjang pada pukul 4 pagi Isnin.

Suspek yang berumur 38 tahun itu telah melepaskan tembakan kepada polis ketika melihat polis menuju ke rumah itu di tingkat tiga sebuah rumah kedai dan menyembunyikan diri di dalam rumah itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis terpaksa memecahkan pintu rumah tersebut dan sebaik memasukinya suspek telah melawan anggota polis, menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai kepala serta badannya.

Suspek mati di tempat kejadian, katanya kepada pemberita di pejabatnya pada Isnin.

Zulkifli berkata polis percaya beberapa lagi rakan suspek dapat melepaskan diri melalui siling rumah tersebut.

Polis menemui 450 gram heroin, 21 gram ketamin bernilai RM25,000 serta sebilah parang berukuran 80 sentimeter dan pistol jenis Whelter, satu kelongsong peluru serta empat peluru hidup.

Katanya maklumat awal mendapati suspek yang sudah menetap di sini sejak tiga tahun lepas dipercayai menjadi pengedar dadah untuk warga asing di sekitar pasar borong tersebut.

"Suspek yang pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas) pada tahun 2008 dan dibebaskan setahun kemudiannya dipercayai sudah dua tiga bulan menjalankan kegiatan ini," kata Zulkifli.

----

Amah ditahan bantu siasatan kes bunuh

PASIR MAS: Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia berumur 21 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita di Kampung Lubuk Tapah di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Lazim berkata, mayat Yeap Seok Pen, 60, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka oleh anak lelakinya pada jam 2 petang.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh antara jam 12 tengah hari hingga jam 1 petang semalam dan polis kemudian menahan pembantu rumah wanita itu beberapa jam kemudian.

Katanya, kejadian berlaku ketika wanita yang menghidap penyakit parkinson itu, tinggal berdua bersama pembantu rumahnya itu.

“Kita masih menyiasat motif kejadian dan pembantu rumah itu ditahan dalam sekatan jalan raya di sekitar Cabang Empat Tok Uban, di sini, ketika sedang berjalan kaki pada jam 5.15 petang.

“Kita akan menahannya untuk siasatan lanjut bagi mengetahui punca dia bertindak demikian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Lee Chee Keong, 30, berkata beliau terkejut melihat ibunya berlumuran darah dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah ketika datang untuk melawat ibunya itu.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, saya terkejut melihat keadaan ibu yang berlumuran darah selain mendapati pembantu rumah warga Indonesia sudah tidak ada,” katanya.

Seorang saksi yang juga penduduk kampung berkenaan, Che Noh Haron, 55, berkata beliau melihat seorang wanita berbaju putih dan berseluar jeans paras lutut berjalan kaki secara tergesa-gesa dalam keadaan mencurigakan.

"Saya melihat seorang wanita muda menyandang beg galas berjalan dalam keadaan tergesa-gesa serta mencurigakan kira-kira jam 12.25 tengah hari.

"Ketika itu saya tidak tahu ada kes bunuh dan hanya menyedarinya selepas melihat ramai penduduk kampung mengerumuni rumah mangsa," katanya.

----

Dua lelaki cedera ditembak

2010/12/08

IPOH: Dua lelaki cedera ditembak individu tidak dikenali yang melepaskan sekurang-kurangnya 11 das tembakan rambang dalam satu kejadian di Taman Sri Wangsa, Batu Gajah, kira-kira 24 kilometer dari sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, dua mangsa dikenali sebagai K Raja, 31 dan M Paramasivan, 24, masing-masing cedera di bahu dan paha kiri.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad, berkata kejadian berlaku ketika dua mangsa itu bersama seorang lagi rakan mereka berada dalam sebuah kereta sebaik pulang dari minum di sebuah kedai berhampiran.

“Mangsa dipercayai diekori dua lelaki bermotosikal tidak dikenali dan sebaik tiba di tempat kejadian, suspek terbabit memberhentikan motosikalnya berdekatan dengan kenderaan mangsa.

“Seorang daripada suspek iaitu pembonceng turun daripada motosikal dan melepaskan tembakan rambang ke arah kenderaan mangsa sebelum mereka melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada 11 tembakan rambang itu, dua daripadanya mengenai bahu pemandu kereta iaitu Raja dan paha kiri penumpang, Paramasivan, manakala seorang rakan mangsa yang berada di tempat duduk belakang terselamat.

“Raja yang bekerja sebagai pengimpal dan Paramasivan, pemandu lori berasal dari Taman Desa Ria, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor, dikejarkan ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan kecemasan sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi merawat kecederaan mereka.

“Kedua-dua mereka kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Najib berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui 11 kesan tembakan pada kenderaan mangsa termasuk di pintu kereta dan 11 kelongsong peluru berukuran 9mm.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh.

“Dua suspek berkenaan yang belum dikenal pasti identiti mereka masih diburu dan polis meminta kerjasama orang ramai terutama saksi kejadian untuk me-nyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

18 ulasan:

  1. Membimbangkan. Harap pihak polis akan berusaha membanteras jenayah di negara kita.

    BalasPadam
  2. warga asing mmg sering melakukan jenayah. pihak polis kena sentiasa memantau keadaan ini.

    BalasPadam
  3. keadaan ini memang menimbulkan kebimbangan kepada kita semua. harap jenayah yang melibatkan warga asing dapat dibanteras oleh pihak polis.

    BalasPadam
  4. diharapkan jumlah warga asing yang berada di negara ini dapat dikurangkan. ini bagi mengelakkan daripada berlakunya jenayah yang melibatkan warga asing.

    BalasPadam
  5. rakyat asing makin berani melakukan jenayah di dalam negara kita...apakah peruntukan hukuman kita begitu ringan?

    BalasPadam
  6. jumlah pekerja asing di negara kita harus dikurangkan..selain itu, PATI, pemegang IMM13 di sabah juga harus ditangkap dan dihantar balik ke tempat asal mereka..

    BalasPadam
  7. diharap pihak berkenaan memandang serius hal ini dan seterusnya menyelesaikannya..

    BalasPadam
  8. OMG... kemana hilangnya sifat perikemanusiaan masyarakat hari ini????

    BalasPadam
  9. Semua pihak harus beri tumpuan pada hal ni dan cari jalan utk menanggani perkara ini dgn baik.

    BalasPadam
  10. Ini boleh mengancam ketenteraman rakyat kita. Oleh itu kita mesti mengurangkan jumlah warga asing dan jika kita mahu mengambil pekerja haruslah mempunyai peribadi yang baik.

    BalasPadam
  11. walaupun kadar jenayah berdasarkan statistik menunjukkan ada penurunan, itu bukanlah jaminan bahawa rakyat berada dalam keadaan selamat. jenayah tetap akan berlaku dimana2 sahaja dan pada bila2 masa. pihak berkuasa perlu melipatgandakan usaha, manakala rakyat perlu sentiasa berhati2..

    BalasPadam
  12. Hal ini sungguh membimbangkan. Warga asing semakin menjadi-jadi di negara kita. Diharapkan polis akan mengambil tindakan yang serius terhadap mereka. Jangan biarkan mereka terlepas begitu sahaja.

    BalasPadam
  13. Kalau Malaysia hendak mengambil warga asing untuk bekerja, pastikan majikan menyemak latar belakang mereka.

    BalasPadam
  14. I believe the case involving the three Myanmar citizens are because of revenged that are brought over from their home country.

    BalasPadam
  15. Ini disebabkan terlalu ramai warga asing yang bekerja di negara kita samada mereka yang datang secara sah ataupun secara haram.

    BalasPadam
  16. Masalahnya pengaruh warga asing yang berani melakukan pelbagai jenayah turut melibatkan rakyat tempatan. So perkara ini seharusnya dipandang serius, malah jenayah yang dilakukan juga sehingga sanggup merogol, membunuh mangsa dan sebagainya.

    BalasPadam
  17. Warga asing ini memang keterlaluan. Bekerja di rantau orang tapi tidak pandai menjaga sikap mereka itu.

    BalasPadam
  18. Kena berhati2 jika boleh jangan berhubung dengan mana2 warga asing..

    BalasPadam