Selasa, Disember 07, 2010

BILA MAKANAN BOLEH MENJADI 'RACUN'

Bila Makanan Boleh Menjadi 'Racun'

Oleh Mazani Chan Yat Sin

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Di negara ini, terdapat pelbagai jenis hidangan yang enak yang muncul dari kewujudan pelbagai bangsa dan budaya.

Tetapi tahukah anda makanan yang enak ini, boleh menjadi 'racun' yang boleh menghakis sel-sel penting yang menjadi pelindung di dalam badan kita sekiranya diambil dalam kuantiti yang berlebihan.

Menurut seorang pakar pemakanan, Gary Lee, rakyat di negara ini terlalu gemar dengan makanan sebegini sehingga ia memudaratkan sistem badan mereka.

"Antara sebab perkara ini berlaku, terdapat pelbagai makanan segera di pasaran yang menarik minat orang ramai," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata ada di antara mereka yang tidak begitu bijak dalam membuat perancangan pemakanan sehingga menyebabkan ramai rakyat Malaysia mempunyai penyakit kronik seperti diabetis dan kardiovaskular.

"Perangkaan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) pada 2006 menunjukkan penyakit jantung dan strok menjadi 20 peratus penyebab kematian penduduk di negara ini," katanya.

TEKNOLOGI MAKANAN TERKINI

Menurut Lee, disebabkan kecanggihan dalam bidang teknologi makanan, sesuatu produk makanan dapat dihasilkan dalam masa yang singkat.

Lee yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari sebuah universiti tempatan mengambil contoh pembesaran ayam kampung yang sepatutnya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan.

"Dalam suatu seminar yang pernah saya hadiri, saya agak terkejut kerana penternak ayam memberitahu saya bahawa seekor ayam kampung kini hanya memerlukan dua minggu sebelum boleh disembelih.

"Sedar atau tidak, badan kita sebenarnya turut "disuntik" hormon yang disuntik oleh para petani, apabila kita memakan ayam yang telah dimasukkan hormon berkenaan," katanya.

Lee yang pernah mengendalikan lebih daripada 500 ceramah pemakanan di beberapa negara seperti China, Oman dan Indonesia, berkata pengguna di negara ini juga tidak sedar bahawa khasiat sesuatu makanan akan berkurangan apabila terlampau diproses kerana bahan kimia telah dimasukkan ke dalam bahan makanan itu.

FAKTOR SEKELILING

Ditanya mengenai punca berlakunya peningkatan kematian akibat penyakit kronik, Lee menjelaskan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira termasuk tabiat pemakanan yang tidak seimbang.

"Pilihan makanan yang tidak betul dan kuantiti pengambilan makanan yang tidak seimbang menjadi (antara) sebab kita mengalami penyakit sebegini. Makanan yang perlu dikurangkan, kita perbanyakkan dan makanan yang perlu diperbanyakkan, kita kurangkan" katanya.

Lee menambah kata, gaya hidup yang tidak aktif seperti kurang melakukan senaman dan hidup dalam 'stres' juga menjadi faktor penyebab berlakunya serangan penyakit kronik.

Katanya masyarakat di negara ini juga tidak menitikberatkan pengamalan nutrisi pemakanan yang seimbang.

MAKANAN TAMBAHAN

Pemakanan seimbang semata-mata tidak dapat memberikan "kekuatan" badan kita untuk bekerja tetapi perlu disertai dengan pengambilan makanan tambahan seperti vitamin dan sebagainya.

Katanya, makanan tambahan ini bukan sahaja menjadi penyumbang tenaga kepada badan kita tetapi turut menjadi bahan mengurangkan beban antioksidan yang ditanggung oleh badan kita.

Katanya, tidak semua makanan tambahan menawarkan keberkesanan kerana sesetengah produk itu hanya dikeluarkan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata.

"Produk makanan tambahan yang menawarkan keberkesanan boleh dilihat melalui kajian saintifik syarikat berkenaan. Selain itu, ia juga berdasarkan komposisi serta kandungan," katanya.

SENAMAN

Lee berkata, ramai rakyat di negara ini yang selalu mengabaikan senaman yang menjadi asas dalam melahirkan badan yang sihat disebabkan terlalu taksub dalam mengejar kerjaya.

Katanya, badan juga perlu juga bekerja dengan mengeluarkan peluh atau dalam erti lain, lebihan lemak di dalam badan itu harus dibuang.

"Ramai rakyat di negara kita tidak sering bertanya mengapa mereka masih tidak kurus selepas mengamalkan senaman? Puncanya ialah konsistensi".

Katanya, rakyat di negara ini tidak seharusnya terikut dengan jadual bersenam sebaliknya mempunyai satu azam iaitu meneruskan senaman.

"Sebagai contoh, kalau kita menetapkan sehari, kita melakukan senaman seperti berjoging selama setengah jam sehari,kita patut mempertingkat senaman kita bukan bertujuan hendak kurus semata-mata tetapi sebaliknya memastikan badan kita berada dalam keadaan sihat.

9 ulasan:

  1. Jagalah pemakanan kita dengan mengurangkan pengambilan makanan seperti makanan segera, makanan diproses dan makanan ringan.

    BalasPadam
  2. pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat perlu bg memstikan kita sentiasa sihat.

    BalasPadam
  3. Pendek kata, jagalah pemakanan kita utk kekal sihat :)

    BalasPadam
  4. Contoh paling ketara adalah KFC.. Jadi kurangkanlah pemakanan seperti ini. Jaga kesihatan anda.

    BalasPadam
  5. semakin maju teknologi semakin mudah manusia diserang penyakit. berhati2 semasa memilih pemakanan dan amalkan gaya hidup sihat.

    BalasPadam
  6. Due to the hectic lifestyle, most people are neglecting their health.

    BalasPadam
  7. Adalah penting untuk semua mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

    BalasPadam
  8. Apa yang penting ialah keseimbangan pengambilan makanan.

    BalasPadam
  9. Sejak dari muda kita kena pandai mengatur pemakanan kita. Kerana apa yang kita makan pada hari ini akan memberi kesan kepada diri kita pada masa hadapan.

    BalasPadam