MP mahu status Jabatan Pelajaran dikekalkan
17th February, 2010 LABUAN: Cadangan Kementerian Pelajaran yang mahu mengecilkan status Jabatan Pelajaran Labuan kepapada Pejabat Pelajaran mendapat bantahan pelbagai pihak, kata Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal.
Katanya, cadangan kementerian itu, bukan saja akan merugikan kepada jabatan itu, tetapi juga kepada rakyat terutamanya golongan ibu bapa pelajar yang menghadapi masalah terpaksa merujuk ke ibu pejabat Jabatan Pelajaran yang berpusat di Kuala Lumpur.
“Tindakan ini juga akan memberi impak yang besar kepada rakyat kerana ia tidak mengambarkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membela rakyat termasuk dalam memberikan keyakinan kepada rakyat dengan apa yang dijanjikan menerusi slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian diUtamakan,” katanya kepada media selepas diminta mengulas mengenai cadangan kementerian itu, pada Ahad.
Beliau juga melahirkan kebimbangan jika ini terus dilaksanakan, kedudukan Labuan yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional akan tergugat kerana adanya pihak-pihak tertentu termasuk pembangkang yang akan memainkan isu ini untuk meracuni pemikiran rakyat.
Sehubungan dengan itu katanya, beliau sudahpun menghantar surat rayuan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yassin supaya status Jabatan Pelajaran Labuan itu dikekalkan.
Sementara itu, beliau yang terkilan kerana tidak dimaklumkan mengenai cadangan itu dari peringkat awal lagi, yakin Kementerian Pelajaran dapat menimbang semula keputusan itu demi kesahjeteraan rakyat yang mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan