29th October, 2009
DAERAH Ranau antara destinasi pelancongan terkenal di Sabah ‘Negeri Di Bawah Bayu’ ini , telah melakar satu lagi sejarah tersendiri bagi daerah itu apabila hasrat dan impian para pemimpin khususnya para pekebun buah-buahan seperti durian di daerah berkenaan menjadi realiti hasil permuafakatan serta kerjasama padu daripada semua pihak menganjurkan ‘Pesta Durian Ranau 2009’ baru-baru ini (24-25 Oktober).
Sesungguhnya, kejayaan itu merupakan satu catatan sejarah bagi daerah tersebut dalam usaha membantu para pekebun durian mempromosi klon-klon durian mereka yang sememangnya berkualiti kepada orang ramai dengan harganya yang berpatutan.
Daerah Ranau sejak puluhan tahun yang lalu, memang terkenal dengan pengeluaran durian berkualiti dengan klon-klon durian berkualiti, tetapi tidak ramai yang mengetahuinya disebabkan usaha untuk membantu mempermosikannya belum terlaksana.
Menurut Pegawai Pertanian Kanan Ranau, Rodius Timbuong, daerah Ranau merupakan penanam terbesar di negeri Sabah dengan keluasan kawasan tanaman durian kini mencecah 1,427.1 hektar dan berpotensi mengeluarkan sebanyak 14,254,835 metrik tan buah durian dengan anggaran nilai RM64,146,757.00
Kenyataan itu makanya, telah mendorong semua pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bermuafakat dengan Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah, Pejabat Fama serta agensi-agensi kerajaan yang lain untuk menganjurkan Pesta Durian buat julungkalinya tahun ini.
Pelbagai acara dan aktiviti telah diadakan sepanjang dua hari pesta tersebut yang bertemakan ‘Pelancongan-Pertanian Satu Perniagaan’ memberi banyak manfaat kepada penduduk terutama para pekebun atau penanam durian di daerah tersebut.
Antara acara yang diadakan sepanjang pesta itu yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Haji Masidi Manjun ialah, Pameran dan Jualan lebih 50 jenis (klon) durian berkualiti, pertandingan buah durian paling besar/ berat, Pertandingan Makan Buah Manggis, Pertandingan Makan Buah Durian Terbanyak, Pameran dan Jualan Anak Benih Buah-Buahan, Acara Makan Buah Durian Sepuashati, Pertandingan Mewarna Gambar Buah Durian dan Melukis Poster Durian kategori pelajar Sekolah Rendah & Menengah diserikan dengan persembahan kebudayaan.
Dalam acara pertandingan Makan Durian Terbanyak telah disandang oleh peserta dari Kampung Tarawas, Asikin Sarikin berjaya menghabiskan 949 gram buah durian dalam tempuh 5 minit tempuh pertandingan, disusuli Amat Madusin dari Kampung Napong (800 gram) dan Abdl Halil dari SK. Sungai Damit Tuaran (700 gram) menewaskan 60 peserta lain. Peserta dari Kampung Patau Tambunan, George Jailis pula menjuarai pertandingan Makan Buah Manggis Terbanyak menghabiskan 1.2 gram daripada 5 kilogram buah manggis dalam masa 3 minit tempuh pertandingan.
Pemenang bagi Pertandingan Gerai Pameran dan Jualan Buah Durian disandang oleh Gerai DUN Paginatan, disusuli Gerai DUNKaranaan dan DUN Kundasang.
Masidi dalam ucapan perasmiannya, menyifatkan pesta itu berjaya mencapai objektifnya untuk mempromosi hasilan buah-buahan tempatan khususnya buah durian berkualiti keluaran daerah itu sekaligus menonjolkan daerah Ranau sebagai pengeluar durian yang utama di negeri ini sambil member peluang kepada masyarakat setempat memanfaatkan pesta tersebut melalui agro-pelancongan.
“Bertepatan dengan nama Ranau sinonim dengan pengeluar durian berkualiti dan dalam masa yang sama dapat menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri melawat ke beberapa tempat peranginan di daerah ini, seperti Taman Kinabalu ‘Taman Warisan Dunia’, Taman Kolam Air Panas Poring selain ke resort-resort berhampiran”, kata Masidi sambil memaklumkan terdapat pelbagai kemudahan penginapan sedia menanti pengunjung sama ada bermalam di resort-resort atau ke hotel-hotel dan Homestay yang menawarkan bayaran sewa berpatutan.
Masidi yang juga ADUN Karanaan menaruh berkeyakinan, cetusan ideanya untuk menganjurkan Pesta Durian itu selama ini yang kini menjadi satu kenyataan, akan menjadi acara tahunan seiring dengan sambutan Pesta Kubis di Kundasang dan Larian Gunung Kinabalu Antarabangsa, menjadi satu ikon daerah Ranau sebagai destinasi pelancongan yang utama bukan sahaja di Sabah tetapi di Malaysia dan antarabangsa.
Pegawai Daerah Ranau, Haji Faimin Kamin ketika ditemui, turut berasa bangga dengan kejayaan menganjurkan pesta tersebut dan mengharapkan ianya menjadi motivasi kepada para pekebun durian untuk terus mengusahakan kebun masing-masing dengan tanaman durian berkualiti.
“Pesta seumpama ini, adalah sebenarnya salah satu usaha kea rah membantu para petani di daerah ini untuk memasarkan hasil pertanian meraka khususnya buah-buahan tempata seperti durian bagi membantu meningkatkan sosio-ekonomi mereka”, jelas Haji Faimin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan