Memaparkan catatan dengan label isu penghapusan UPSR dan PMR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu penghapusan UPSR dan PMR. Papar semua catatan

Selasa, Julai 20, 2010

KESATUAN GURU SETUJU MANSUH UPSR, PMR DENGAN BERSYARAT

Kesatuan Guru Setuju Mansuh UPSR, PMR Dengan Bersyarat

PUTRAJAYA: Rata-rata kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Loke Yim Pheng berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar.

Langkah itu penting bagi mengukur serta menilai tahap pelajaran yang diterima oleh pelajar dan mengelak mereka dan guru hilang tumpuan, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bulat itu yang dihadiri hampir 140 wakil golongan pendidik dan kesatuan guru termasuk dari Sabah dan Sarawak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad juga bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas.(?)

Katanya, ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata.

"Penilaian berdasarkan pensil dan kertas semata-mata. Jika kita lihat di negara lain, seperti New Zealand, tidak ada peperiksaan berpusat.

"Langkah ini (mansuh) baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu," katanya.

Beliau berkata, beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan.

"Tugas guru akan lebih fokus untuk mengatasi masalah defisit pembelajaran seperti program 3M, disiplin pelajar dan sebagainya.

"Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga yang mahu para pelajar serba boleh turut akan dapat dicapai, termasuk hasrat kerajaan untuk memiliki modal insan bertaraf dunia," katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Sabah Sarawak William Ghani Bina turut bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat tidak membebankan tugas guru.

"Kalau boleh, guru-guru sekarang digantikan dengan guru-guru terlatih. Tidak ada lagi guru sandaran atau guru sandaran tidak terlatih.

"Langkah ini akan mengawal mutu pendidikan dengan lebih baik berikutan kapasiti sesebuah kelas akan menjadi kecil. Sekarang, kelas terlalu besar, dan tidak ada hubungan antara pelajar dan guru," katanya.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya, P. Pharmal Lingam pula tidak bersetuju dengan cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu kerana mendakwa tidak ada kayu pengukur untuk membuat penilaian terhadap guru dan murid.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pelbagai pandangan diterima daripada perbincangan yang diadakan selama kira-kira tiga jam itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada keputusan dibuat pada mesyuarat itu kerana ia bertujuan mendapatkan pandangan untuk dianalisis.

"Kita menggunakan empat jenis input untuk mendapatkan pandangan iaitu melalui pengumpulan berita daripada media, pandangan orang ramai melalui e-mel dan surat.

"Selain itu, melakukan kajian di sekolah dengan mengedar soalan bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar dan guru, dan input daripada dua perbincangan meja bulat ini," katanya.

Beliau berkata, laporan akhir akan siap pada akhir bulan Ogos ini selepas semua input diteliti sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – BERNAMA

----

Puad: Jangan terburu-buru mansuh UPSR, PMR

Isnin, Julai 05, 2010

ORANG RAMAI BOLEH MENGEMUKAKAN PANDANGAN MENGENAI CADANGAN KERAJAAN MEMANSUHKAN UPSR DAN PMR MELALUI KHIDMAT PELANGGAN KEMENTERIAN PELAJARAN

Sesi Meja Bulat Bincang Kewajaran UPSR Dan PMR 19 Dan 27 Julai Ini

Borang Maklum Balas

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 19 dan 27 Julai ini.

"Rumusan perbincangan akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Ogos ini," kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata perbincangan meja bulat yang pertama pada 19 Julai ini dikhususkan untuk wakil pendidik, termasuk pegawai kanan kementerian, pengarah Jabatan Pelajaran negeri, kesatuan dan persatuan guru, pengetua, guru besar serta kaunselor sekolah.

"Perbincangan kedua pada 27 Julai pula dikhususkan untuk mereka di luar kementerian seperti tokoh pendidikan, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), ahli politik, wakil agensi kerajaan, wakil badan-badan bukan kerajaan dan pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu ini," katanya.

Katanya beliau berharap pandangan menyeluruh berkaitan dengan pemansuhan UPSR dan PMR dari setiap lapisan masyarakat akan dapat dihasilkan melalui perbincangan meja bulat itu.

"Pemantauan terhadap pandangan orang ramai melalui media cetak dan elektronik akan terus dilakukan oleh pihak kementerian dan buat masa ini banyak pandangan serta pendapat sudah dikumpulkan dan ini akan diambil kira semasa perbincangan meja bulat," katanya.

Orang ramai yang berminat masih boleh mengemukakan pandangan melalui khidmat pelanggan Kementerian Pelajaran di alamat kpkpm@moe.gov.my atau alimuddin.dom@moe.gov.my.

Borang Maklum Balas

Khamis, Julai 01, 2010

ISU PEMANSUHAN UJIAN UPSR & PMR - PERLU AMBIL IKTIBAR DARI PEMANSUHAN PPSMI SELEPAS CUMA DILAKSANAKAN SELAMA 8 TAHUN

Raja Muda Puji Hasrat Kaji Semula Kaedah Nilai Pelajar

IPOH, 1 Julai (Bernama) -- Hasrat kerajaan mengkaji semula kaedah penilaian pelajar sekolah sangat bertepatan dan dapat membantu melahirkan barisan warga muda yang lebih inovatif dan lebih kreatif, titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah hasrat untuk menerokai formula yang difikirkan dapat membantu melahirkan barisan warga muda yang lebih inovatif dan kreatif, membenarkan berlakunya perkembangan pemikiran lateral serta mengiktiraf bahawa anak-anak mempunyai pelbagai bakat dan minat.

"Minat dan bakat itu kini diakui wajib dibantu pertumbuhannya. Pemikiran itu sangatlah bertepatan. Sekolah hendaklah menjadi tapak semaian yang membolehkan semua pohon dapat membesar dan semua bakat dapat berkembang," titah baginda semasa merasmikan Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya, Hulu Kinta di sini pada Khamis.

Raja Dr Nazrin bertitah dalam hasrat melakukan pembaharuan amatlah penting ia dilaksana dengan kaedah yang betul dan disusuli persiapan yang lengkap.

"Amatlah penting diambil pengajaran dari kesilapan masa lalu supaya pisang tidak berbuah dua kali...beberapa tahun lalu hasrat untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris adalah hasrat yang betul namun apabila ia tidak dilaksanakan dengan kaedah yang betul dan persiapan yang lengkap, maka berlakulah percanggahan yang membawa penentangan," titah baginda.

Baginda bertitah pelajar yang inovatif, kreatif dan berfikiran lateral tidak mungkin dapat dicanai di bawah asuhan tenaga pengajar yang tidak berfikiran demikian, yang tidak berfikiran terbuka, "regimented" serta yang melalui proses belajar dan mengajar yang terlalu rigid dan terlalu berstruktur.

"Perancangan yang rapi adalah penting sementara pelaksanaan pula biarlah dilakukan secara berperingkat dan bukannya terlalu terburu-buru," titah baginda.

Baginda bertitah anak-anak dan ibu bapa wajib dilindungi daripada menjadi mangsa kepada perancangan yang kurang masak dan tenaga pelaksanaan yang kurang lengkap.

"Biarlah kita bersedia mengamalkan semangat berjagung-jagung dahulu sementara menantikan pada masak, sikit-sikit akhirnya jadi bukit," titah baginda.

Raja Dr Nazrin juga bertitah program pelajaran anak-anak adalah terlalu penting untuk membolehkan kesilapan berlaku.

"Satu kesilapan di peringkat atas akan menjejaskan ribuan insan di peringkat bawah. Biasanya yang menjadi mangsa utama adalah golongan rakyat berpendapatan rendah yang meletakkan sepenuh harapan serta setinggi kepercayaan kepada kerajaan. Kepentingan mereka dan masa depan anak-anak mereka wajib dilindungi setiap masa," tegas baginda.

----

PPSMI  (19 Julai 2002 - 8 Julai 2009)

Isu Kewajaran UPSR Dan PMR Diputuskan Tahun Ini, Kata Muhyiddin

KOKURIKULUM MUNGKIN DIAMBIL KIRA JIKA MANSUH UPSR, PMR

Kokurikulum Mungkin Diambil Kira Jika Mansuh UPSR, PMR

BUKIT MERTAJAM, 30 Jun (Bernama) -- Kokurikulum mungkin diambil kira dalam menilai pencapaian pelajar sekiranya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan perlu membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

"Mungkin kokurikulum juga satu daripada aspek (menilai pencapaian), tetapi saya tidak mahu terangkan dulu kerana perlu dibincangkan dengan Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebelum sebarang ketetapan dibuat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Jambori Persahabatan Antarabangsa Malaysia di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kokurikulum dijadikan salah satu aspek untuk menilai pelajar jika kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan.

Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan UPSR dan PMR pada masa akan datang kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Antara kemungkinan yang sedang dikaji ialah UPSR dan PMR akan hanya diteruskan sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Alimuddin berkata kementerian itu sedang mengumpul maklum balas daripada semua pihak terlibat sebelum satu sesi meja bulat diadakan bagi membincangkan cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

"Kami akan menjemput pelbagai pihak antaranya parti politik bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR," katanya.

Selasa, Jun 29, 2010

SIJIL UPSR DAN PMR TIADA NILAI ? - PUAD

Gabungan Guru Besar Sokong UPSR Dihapus - Puad

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) menyokong Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dihapuskan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi.

Beliau berkata GMGBM berpendapat ada baiknya peperiksaan awam diadakan sekali sahaja kerana dari segi nilai hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang boleh diguna untuk mendapatkan pekerjaan dan memohon kemasukan ke universiti.

"Kalau UPSR dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) ini sijilnya tiada nilai selepas daripada itu. Sebab itu GMGBM setuju UPSR diganti dengan penilaian sekolah atau 'school based assessment'," katanya pada sidang media selepas menyampaikan diploma dan sijil pada konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Pendidikan Cheras YPC-ITWEB kali ke-6 di sini pada Selasa.

Puad berkata kerajaan akan memperluaskan Sijil Kemahiran Malaysia iaitu tidak terhad untuk pelajar lepasan SPM sahaja, sebaliknya ia akan diberi kepada mereka yang telah bekerja berdasarkan pengalaman mereka bekerja tanpa perlu mengikuti pengajian.

"Mereka yang sudah bekerja, katalah dia bekerja di bengkel membaiki kereta dan motor...jadi pengalaman dia selama lima tahun boleh dinilai sama ada dia layak diberikan Sijil Kemahiran Malaysia walaupun dia tidak mengikuti kursus macam pelajar biasa yang masuk kuliah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata pemberian sijil ini akan dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Pada konvokesyen itu, 161 graduan menerima diploma perniagaan dan teknologi maklumat dan 46 graduan menerima sijil kursus asasi perniagaan dan teknologi maklumat.

---

Sesi Meja Bulat Bincang Cadangan Mansuh UPSR Dan PMR - Muhyiddin

Isnin, Jun 28, 2010

"KITA MEMERLUKAN MAKLUM BALAS DARI PERSATUAN GURU, PIBG DAN ORANG RAMAI UNTUK APA-APA PERUBAHAN YANG DIFIKIRKAN PERLU OLEH KEMENTERIAN PELAJARAN," - PUAD ZAKARSHI

Pelajar Boleh Dinilai Di Sekolah Jika UPSR Dan PMR Dimansuhkan: Puad

IPOH, 28 Jun (Bernama) -- Ibu bapa tidak perlu khuatir mengenai cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana jika ia berlaku, Lembaga Peperiksaan Malaysia masih boleh menyelaras peperiksaan di peringkat sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi.

Katanya jika peperiksaan itu dimansuhkan, ia tidak bermakna guru-guru akan mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendidik pelajar kerana sebenarnya masih terdapat beberapa ujian lain yang perlu dilalui pelajar.

"Pelajar akan dinilai dalam ujian lain di sekolah. Dengan pemansuhan peperiksaan itu ia akan mengurangkan tekanan kepada murid-murid yang terpaksa melalui beberapa ujian besar sehingga tamat persekolahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia ke-16 dan Persidangan Perwakilan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia ke-28 di sini hari ini.

Mohd Puad berkata cadangan untuk memansuhkan dua peperiksaan juga adalah sejajar dengan hakikat bahawa sistem pendidikan yang dinamik memerlukan perubahan untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa.

"Kita memerlukan maklum balas dari persatuan-persatuan guru, Persatuan Ibubapa dan Guru dan orang ramai untuk apa-apa perubahan yang difikirkan perlu oleh Kementerian Pelajaran," katanya

Mohd Puad berkata keputusan pemansuhan dua peperiksaan awam itu tidak akan dibuat terburu-buru sebaliknya bergantung kepada pendapat semua pihak.

"Pada masa ini ramai yang menyokong dan ada juga yang tidak bersetuju," katanya.

Ahad, Jun 27, 2010

26/06/2010 – MAJLIS PENYAMPAIAN KWAPM & TANDATANGAN BUKU REKOD PELAJAR SK KITUNTUL RANAU

image
image
image
MAJLIS PENYAMPAIAN KWAPM SK KITUNTUL RANAU
 
SEBAHAGIAN DARIPADA PENERIMA KWAPM

RESPON DARIPADA 33 IBUBAPA SK KITUNTUL MENGENAI CADANGAN PEMANSUHAN PEPERIKSAAN UPSR DAN PMR

image

29 TIDAK SETUJU

4 SETUJU

Rabu, Jun 23, 2010

SISTEM PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH MUNGKIN GANTI PEPERIKSAAN AWAM - MUHYIDDIN

Dewan Rakyat: Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah Mungkin Ganti Peperiksaan Awam - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin akan digunakan untuk menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata menerusi sistem itu, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.

 "Kita gantikan sistem peperiksaan awam kepada satu sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ini belum dimaklumkan tetapi sudah dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana ia diamalkan di banyak negara.

image"Mungkin ia tidak banyak beza berbanding negara lain, pokoknya ia tidak menjejaskan soal pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar adalah sama, tetapi bagaimana kita hendak nilai, sama ada peperiksaan awam atau sistem penilaian," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Rabu.

Beliau berkata kerajaan juga tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

"Banyak pakar kata sepatutnya dah lama buat, tetapi kenapa kita buat sekarang, kita dah lama buat kajian iaitu sejak 2007 lagi kementerian ada pasukan yang meneliti isu yang berbangkit," katanya.

Beliau berkata langkah mengurangkan peperiksaan awam ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurang beban tugas guru untuk mengendalikan proses peperiksaan.

Mengenai rombakan sistem pendidikan Teknik, Vokasional dan Kemahiran untuk dijadikan pendidikan arus perdana, Muhyiddin berkata kerajaan akan menambah bilangan sekolah vokasional dengan bentuk kurikulum yang baru serta latihan yang jauh berbeza daripada apa yang ada sekarang khususnya berkaitan dengan bidang yang mempunyai hubung kait dengan negara pada masa kini.

"Saya sendiri pengerusikan mesyuarat di peringkat kementerian untuk meneliti semua perkara berkenaan rombakan besar kepada pendidikan vokasional, kurikulum, infrastruktur, kemudahan dan latihannya akan diumumkan untuk pengetahuan ahli Yang Berhormat dalam masa terdekat," katanya.

Berkenaan program Permata Negara yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran, Muhyiddin berkata pada masa ini, kementerian sedang melaksanakan pelbagai persiapan rapi khususnya daripada segi pengurusan dan pentadbiran program tersebut.

Muhyiddin berkata pada masa ini, kementerian sudah berada di peringkat akhir melaksanakan auditan ke atas semua sekolah dan seterusnya akan menetapkan keutamaan berdasarkan kepada keperluan sesebuah sekolah.

"Dalam konteks ini, sekolah yang benar-benar memerlukan peruntukan akan diberi keutamaan dan pertimbangan yang sewajarnya. Soal lokasi atau jenis sekolah tidak timbul, semua sekolah akan diberi perhatian khusus supaya persekitaran dan pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, dalam menentukan senarai projek-projek pembangunan dalam RMK-10, laporan audit tersebut akan diguna pakai sepenuhnya di mana penetapan pembinaan sekolah baru atau penambahbaikan berdasarkan kepada keperluan, bukan berasaskan desakan mana-mana pihak.

"Selain itu, saya juga telah mengarahkan kepada kementerian supaya membuat penilaian yang telus dalam pemberian bantuan kepada murid yang benar-benar layak menerimanya.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak khusus di bawah kementerian saya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata secara keseluruhannya, sebanyak RM26.093 bilion telah diperuntukkan kepada kementerian dengan jumlah 15,324 projek termasuk tambahan 808 projek di bawah Pakej Ransangan Ekonomi.

"Sehingga 15 Jun lepas, sebanyak 8,870 projek telah berjaya disiapkan, 5,312 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan manakala 942 projek akan bersambung ke RMK-10," katanya.

Bagi prestasi perbelanjaan pula, Muhyiddin berkata sehingga 31 Mei lepas, kementerian telah membelanjakan sebanyak RM16.668 bilion iaitu 85.12 peratus daripada keseluruhan siling yang ditetapkan, dan dijangka akan dapat membelanjakan keseluruhan peruntukan tersebut menjelang akhir tahun ini.

---

Mansuh UPSR, PMR: MCA Nyata Pendirian Minggu Depan - Soi Lek

PEMANSUHAN PEPERIKSAAN UPSR DAN PMR MENGAKIBATKAN MURID AKAN MENJADI MALAS ?

“Sekiranya peperiksaan UPSR atau PMR dimansuhkan, para pelajar akan hilang motivasi untuk belajar kerana mereka tahu tiada peperiksaan ‘besar’ yang akan mereka hadapi untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Dari segi penentuan kelas pelajar Tingkatan Empat, ia agak rumit kerana kita tidak tahu kekuatan dan kelemahan seorang pelajar untuk memasuki kelas sains, sastera, perdagangan atau pun teknologi maklumat, sekiranya tiada peperiksaan PMR,”

“Kesannya murid-murid sejak sekolah rendah hingga menengah akan malas belajar sebab, Tingkatan 5 baru ada ‘peperiksaan besar’ iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tambahan pula, cara pemikiran dan pembelajaran pelajar sudah terbiasa dengan cara lama iaitu belajar untuk menghadapi peperiksaan,”

Mellda Albert

---

“Jika dimansuhkan, kemungkinan para pelajar akan kurang mengambil berat tentang pelajaran. Ini kerana UPSR dan PMR adalah salah satu peperiksaan yang dapat menilai tahap pembelajaran mereka.

“Kita juga tidak dapat mengetahui sejauh mana kemampuan seseorang murid itu selama dia bersekolah sekiranya tiada peperiksaan UPSR dan PMR,”

Justina Justin

---

image “Saya tidak setuju sebab macam mana kita mahu tahu, anak kita pandai atau tidak sekiranya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan?

“Para pelajar pun tidak akan belajar bersungguh-sungguh dan mungkin mereka lebih suka menghabiskan masa bermain game, facebook atau melepak dengan kawan-kawan.

Selain itu, tanpa peperiksaan, kita tidak dapat menilai setakat mana penerimaan para pelajar sepanjang persekolahan mereka. Oleh itu saya berharap sistem pembelajaran di negara ini tidak ditukar secara drastik,”

seorang ibu Elsi John

---

kedua-dua peperiksaan itu patut dimansuhkan sekiranya terdapat perancangan kerajaan untuk memberi latihan secara praktikal ataupun para pelajar diberi pilihan untuk mendalami satu-satu bidang dari peringkat awal kemasukan persekolahan.

“Lagipun pandangan masyarakat sekarang ialah, sekiranya gagal dalam tiga peperiksaan (UPSR, PMR dan SPM) .. pelajar itu dianggap tidak pandai.

“Tidak semestinya, pelajar yang gagal dalam peperiksaan itu tidak pandai … mungkin mereka tiada berminat dalam bidang akademik tetapi mempunyai kelebihan dalam bidang kemahiran.

“Apa-apa pun langkah yang akan dibuat oleh kerajaan, saya percaya ia pastinya mempunyai banyak kebaikan untuk generasi akan datang,”

Marion Bonnie

---

Ibu bapa pedalaman setuju mansuh UPSR, PMR

UPSR Dan PMR Patut Dikekalkan Selepas Diubah Suai - Koh

Selasa, Jun 22, 2010

UTAMAKAN KEMUDAHAN PRASEKOLAH SEBELUM KURANGKAN USIA BERSEKOLAH, KATA MASIDI MANJUN

Utamakan Kemudahan Prasekolah Sebelum Kurangkan Usia Bersekolah, Kata Masidi Manjun

KOTA KINABALU, 22 Jun (Bernama) -- Exco Pelajaran Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kerajaan wajar memastikan kemudahan prasekolah wujud di semua kawasan di negeri itu sebelum melaksanakan sistem pendidikan yang baru.

Beliau berkata tanpa kemudahan prasekolah yang mencukupi, pelaksanaan sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun akan kurang keberkesanannya.

"Kita boleh turunkan umur, tapi bagaimana tempat-tempat di luar bandar yang tidak ada prasekolah? Jadi umur boleh diturunkan apabila semua bandar, kampung di Sabah telah mempunyai kemudahan prasekolah," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar Sabah berkata kekurangan infrastruktur prasekolah juga akan menimbulkan masalah kepada sistem pendidikan negara.

Semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara lain menyatakan sistem pendidikan negara akan diubahsuai bagi meningkatkan kualitinya setaraf negara-negara maju.

Antara langkah yang akan diambil ialah menurunkan usia memulakan persekolahan daripada enam tahun sekarang kepada lima tahun, serta penekanan kepada pendidikan prasekolah.

----

Ghapur Cadang Yuran Pendahuluan Masuk Universiti Dipotong Daripada PTPTN

"Kita tidak mahu kemiskinan menjadi halangan dan alasan untuk ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah. Melalui pelajaran, rakyat pasti dapat menjamin masa depan anak-anak mereka dalam mencari peluang rezeki,"

ISU PEMANSUHAN UPSR DAN PMR

20 Jun, 2010 13:07 PM

Kementerian Pelajaran Mungkin Mansuh UPSR Dan PMR

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja,"

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin

---

20 Jun, 2010 17:48 PM

Ramai Setuju Peperiksaan UPSR Dan PMR Dihapuskan

"Sistem kita hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan ini memberi tekanan kepada pelajar dan mereka belajar secara membuta tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperolehi boleh digunakan pada masa-masa akan datang,"

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Jais Abdul Karim

---

21 Jun, 2010 16:50 PM

Ahli Akademik Setuju Mansuhkan UPSR Dan PMR, Tetapi Perlu Kajian

“apa yang lahir melalui UPSR dan PMR selama ini hanya budaya pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan tidak melahirkan pelajar yang berpengetahuan atau berkemahiran.”

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Hashim Othman

presiden---

“kajian menyeluruh perlu dilaksanakan sebelum kerajaan memutuskan perkara itu.”

Penasihat Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) Profesor Emeritus Abdullah Hassan

---

21 Jun, 2010 19:22 PM

Mansuh UPSR/PMR: Pandangan Guru, Ibu Bapa Dikaji

"Kita akan mengumpul pandangan guru-guru dan ibu bapa terlebih dahulu melalui sumber seperti akhbar dan media, dan pandangan mereka akan dibawa kepada Tan Sri Muhyiddin untuk tindakan lanjut,"

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

---

"Saya rasa tak selari. Elok jangan dihapuskan kerana ukuran ranking sesebuah sekolah ditentukan oleh perkara seperti ini,"

Presiden Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia, Datin Norazimah Abdul Rahim

---

22 Jun, 2010 15:16 PM

Wakil Rakyat Bebas Tidak Setuju UPSR Dan PMR Dimansuh

"Dasar pendidikan berubah mengikut perubahan penjawat portfolio Menteri Pelajaran. Oleh itu, konsensus bebas menyarankan kepada kerajaan bahawa satu dasar pendidikan yang berjangka panjang, konsisten dan berkesinambungan perlu digubal,"

Anggota Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri

---

22 Jun, 2010 17:47 PM

imageTokoh Guru Sokong Mansuh UPSR, PMR

"Saya amat mengalu-alukan dan menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran demi masa depan pendidik dan pelajar di seluruh negara,"

"Lagipun kedua-dua peperiksaan itu menjadikan keputusan peperiksaan sebagai pengukur nilai dan tidak memberi gambaran sebenar prestasi seseorang pelajar secara menyeluruh,"

Tokoh Guru 2010 peringkat kebangsaan Awang Mohmad

---

22 Jun, 2010 18:00 PM

Tempoh Mansuh UPSR, PMR Belum Ditetapkan : Muhyiddin

"Ada yang bersetuju kedua-dua peperiksaan itu dihapuskan, ada yang mahu tinggalkan satu peperiksaan sahaja.

"Apa-apa pun, kita akan menunggu selepas kita berpuas hati apabila semua pihak dapat menyuarakan pandangan,"

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran

---

22 Jun, 2010 19:12 PM

PIBGN Setuju Mansuh UPSR Dan PMR

"Pemansuhan ini tidak perlu dibuat secara terburu-buru, ia memerlukan kajian secara halus berkenaan UPSR dan PMR agar penguasaan 3M dapat dicapai disamping melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif serta berpemikiran tinggi,"

Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Datuk Mohamad Ali Hassan

---

"Bagaimanapun, pemansuhan PMR wajar dilaksana memandangkan peranan peperiksaan tingkatan tiga itu hanya untuk menentukan aliran yang akan diikuti mereka ketika tingkatan empat,"

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan

---

"Pada waktu ini, anak-anak saya misalnya baru nak mengenal apa sebenarnya dunia pembelajaran. Mereka belum nampak prospek tentang kepentingan ilmu sains, teknologi, geografi dan bahasa pada 10 tahun akan datang.

"Eloklah tu, kita bagi masa kepada anak-anak untuk mencintai ilmu dahulu, kemudian baru kita sedikit-sedikit dedahkan mereka kepada dunia pekerjaan, baru mereka boleh tentukan minat sejajar dengan kemahiran,"

Seorang ibu, Hayati Yusof, 50,

---

22 Jun, 2010 19:08 PM

Pemansuhan UPSR Dan PMR Tidak Jejas Kemasukan Pelajar MRSM

ini kerana pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini melibatkan ujian khas manakala pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.

"(Ujian khas) ini akan terus digunapakai,"

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

---

22 Jun, 2010 20:33 PM

imagePemuda Umno Setuju PMR Dimansuhkan Tapi Mahu UPSR Kekal

"PMR pula tidak perlu dikekalkan kerana ia bertindih dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang turut digunakan bagi mengukur tahap pencapaian pelajar di sekolah menengah.

"Cara soalan ditanya harus ditukar dengan tumpuan diberikan bagi melatih pelajar supaya berfikir dan bukan sekadar menghafal fakta sejarah dan perangkaan semata-mata,"

Sudah sampai masanya sistem pendidikan di negara ini dirombak secara menyeluruh dan bukan sekadar merombak perkara-perkara tertentu seperti memansuhkan UPSR dan PMR.

"Kita tidak boleh membuat rombakan sedikit demi sedikit atau sekadar untuk menampal lubang sahaja,"

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin

Isnin, Jun 21, 2010

THE PROPOSAL TO ABOLISH THE (UPSR) AND (PMR) EXAMINATIONS NEEDS CAREFUL AND THOROUGH STUDY AS IT HAS GREAT IMPLICATIONS ON THE COUNTRY'S EDUCATION SYSTEM, - MASIDI

Call For Careful Study Of Proposal To Abolish UPSR, PMR Exams

KOTA KINABALU, June 21 (Bernama) -- The proposal to abolish the Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) and Penilaian Menengah Rendah (PMR) examinations needs careful and thorough study as it has great implications on the country's education system, Sabah Education Committee chairman Datuk Masidi Manjun said on Monday.

Masidi, who is Sabah Tourism, Culture and Environment Minister, told Bernama: "We need to look seriously (into the matter) and analyse our entire education system to find the strengths and weaknesses so that we are in a better position to determine the correct direction of changes and innovation, and vocational marketability is just one issue."

He was asked to comment on the statement by Deputy Prime Minister and Education Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin yesterday that the UPSR and PMR examinations might be abolished as part of government efforts to restructure the learning system which was seen as too examination-oriented and having failed to provide a holistic education.

"I applaud the deputy prime minister's effort to improve the education system of the country. But, by the same token, I sincerely believe that any change would have to start with the mindset of policy makers, teachers and those responsible for the development of schools in the country," Masidi said.

He said: "Any change can only be successful if they themselves change the way they see their proper role in the system.

"For instance, the managerial capacity and quality of educationists and policy makers would have to be upgraded before any real change can take place.

"We should also be mindful of the fact that we are part of the global community and any change would have to address the issue of global acceptance of our new education system," he said.

Masidi said the deputy prime minister himself admitted that the government would solicit public feedback before making a decision on the matter.

He said that in the case of Sabah, the most pertinent issue was provision of basic learning infrastructure, especially in the rural areas.

"We not only need schools with good basic facilities like proper classrooms and hostels but we need competent teachers to teach strategic subjects like Mathematics, Science and English.

"A student can only do well in upper secondary education if he has the privilege of going through his early education with all the education aids available at his disposal. In other words, his Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) results depend on the quality of education he has gone through in the preceding 10 years of his schooling," he said.

Ahad, Jun 20, 2010

PEPERIKSAAN UPSR & PMR AKAN DIHAPUSKAN?

Kementerian Pelajaran Mungkin Mansuh UPSR Dan PMR

MUAR, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.

Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Katanya pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.

Muhyiddin berkata secara peribadi beliau berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Namun menurutnya UPSR dan PMR diperlukan untuk membuat penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh atau sekolah aliran tertentu.

Beliau berkata dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata keadaan di mana jumlah pelajar perempuan cemerlang di dalam pelajaran meningkat bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.

"Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang memasuki universiti adalah perempuan dan trend ini berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia," katanya.

---

Ramai Setuju Peperiksaan UPSR Dan PMR Dihapuskan