Khamis, April 05, 2012

MAHFUZ PERTAHAN DAKWAAN WUJUD BADAN BERTINDAK DALAM PROJEK PEMBERIAN KAD PENGENALAN

Mahfuz Pertahan Dakwaan Wujud Badan Bertindak Dalam Projek Pemberian Kad Pengenalan

KUALA LUMPUR 5 April: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan dakwaannya wujud badan bertindak yang terlibat dalam projek pemberian kad pengenalan di Sabah.

Mahfuz berkata beliau sedia mendedahkan butiran terperinci mengenainya kepada Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan wujudnya pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau turut menjangka akan ada penafian oleh individu-individu yang dinamakan olehnya pada Selasa, antaranya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Saya sudah menjangka mereka yang saya sebut semalam akan menafikan. Penafian mereka membuktikan dakwaan saya benar. Mereka boleh menafikan, biar Suruhanjaya Diraja menjawab," katanya pada sidang media di Lobi Parlimenpada Rabu.

Pada Rabu media melaporkan, Wan Ahmad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau antara individu yang didakwa terlibat dalam badan bertindak yang memberi kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi.

Wan Ahmad menyifatkan dakwaan Mahfuz itu sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Wan Ahmad hanya menafikan beliau tidak terlibat bukannya menafikan wujudnya badan bertindak sebagaimana yang didakwanya sebelum ini.

Beliau berkata, Wan Ahmad juga tidak menafikan wujudnya pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing.

Bersandarkan kenyataan itu, Mahfuz menyifatkan Wan Ahmad bersama-sama dengan beliau menyedari kewujudan pendaftaran warga asing dalam daftar pemilih.

"Saya minta beliau duduk bersama saya (untuk tubuhkan Suruhanjaya DiRaja) dengan segera," katanya.

Sementara itu, sebuah akhbar melaporkan,Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab juga menafikan beliau terlibat dan menyifatkan dakwaan Mahfuz adalah tidak benar.

"Itu tidak benar…Saya tidak tahu apa-apa," katanya.

-------------------

PAS mahu RCI ditubuhkan siasat sindiket proses IC kepada warga asing

KUALA LUMPUR, 5 April — PAS mendesak Putrajaya membentuk suruhanjaya diraja siasatan (RCI) menyiasat kewujudan sindiket dianggotai pegawai kerajaan yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi.

Menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar), pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa dan ia akan memberi kesan yang buruk kepada masa depan negara.

Jelas beliau, pihaknya telah mengenalpasti lokasi memproses kad pengenalan dan pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

“Kami menyokong Ahli Parlimen Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) tentang wujudnya sindiket pegawai peringkat tertinggi kerajaan untuk menukar kad pengenalan merah kepada biru,” katanya pada sidang media di sini.

“Jika kerajaan tidak ambil tindakan kita akan dedahkan lagi, tempat proses kad pengenalan dan tempat serahkan juga kita tahu. Ia sindiket yang besar untuk daftarkan warga asing jadi pengundi.”

Semalam Mahfuz, yang juga Naib Presiden PAS, mendedahkan wujud “task force” yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mengundi pada pilihan raya nanti.

Mahfuz mendakwa “task force” itu diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar serta beberapa pegawai lain di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun Wan Ahmad menafikan dakwaan itu.

Jelas Mohamad, daftar pemilih akan menjadi lebih kotor sekiranya pentadbiran Najib tidak mengambil tindakan segera dengan membentuk RCI bagi menyiasat perkara itu.

“Oleh itu kami tuntut daftar pemilih dibersihkan dan suruhanjaya diraja siasatan dibentuk untuk menyiasat,” katanya.

“Daftar pemilih bukan semakin bersih tapi semakin kotor, sebab itu kita mahu suruhanjaya ditubuhkan untuk siasat... pilihan raya boleh tangguh kerana kita ada masa sehingga Mac.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan