Isnin, Jun 20, 2011

LELAKI TEMPATAN HADAPI 'SAINGAN' WARGA ASING DAPATKAN PASANGAN

Lelaki Di Pahang Hadapi 'Saingan' Warga Asing Dapatkan Pasangan

KUANTAN, 20 Jun (Bernama) -- Lelaki di Pahang dilihat sedang menghadapi "saingan" daripada lelaki warga asing untuk mendapatkan pasangan hidup dan pekerjaan.

Ini berdasarkan nisbah 13:1 iaitu bagi setiap 13 lelaki tempatan terdapat seorang lelaki warga asing di Pahang seperti yang terkandung dalam penemuan awal banci penduduk dan perumahan Malaysia yang terbaru.

"Bilangan warga asing di Pahang ini memberi implikasi daripada segi persaingan lelaki di Pahang untuk mendapatkan pasangan mahupun pekerjaan, sekaligus memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan," kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Aminah Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Dasar Keluarga Negara di sini hari ini yang dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, anggota-anggota exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mohammad Safian Ismail.

Aminah berkata bahawa di Pahang pada masa ini bilangan lelaki dalam umur perkahwinan, iaitu 20 hingga 34 tahun, ialah 198,600 orang berbanding 188,900 wanita.

Bancian yang dijalankan tahun lepas itu juga menunjukkan bahawa kaum lelaki di Pahang melebihi wanita pada nisbah 113:100, satu angka yang melebihi paras nasional pada 105:100.

Berdasarkan bilangan sebenar, terdapat 759,587 orang lelaki dan 683,778 wanita di Pahang.

Menurut Aminah, sekiranya nisbah bilangan jantina tidak seimbang, ia boleh menimbulkan masalah kekurangan bilangan penduduk antara jantina dalam kumpulan umur perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup.

"Senario ini mungkin berlaku selepas penghijrahan keluar dari negeri Pahang oleh wanita muda dan ini menyebabkan kaum lelaki terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pasangan dan boleh menyumbang kepada isu kahwin lewat," katanya.

Aminah berharap Dasar Keluarga Negara dapat membantu kerajaan negeri untuk mengambil kira perspektif keluarga dalam setiap perancangan dan pembangunan negeri.

"Ini termasuklah seperti mengkaji semula dasar-dasar dan peraturan yang tidak mesra keluarga di tempat kerja di samping memberi khidmat sokongan keluarga yang lebih komprehensif bagi membantu golongan produktif ini untuk membina kehidupan yang lebih stabil," katanya.

16 ulasan:

  1. Masalah warga asing perlulah ditangani dengan berkesan.

    BalasPadam
  2. Mungkin di luar Pahang ada rezeki. Sapa tahu kalo belum cuba.

    BalasPadam
  3. Mungkin boleh kurangkan bilangan pendatang masuk ke Pahang.

    BalasPadam
  4. Penghijrahan ketempat lain tidak mungkin dapat dikawal tapi mungkin kerajaan Pahang boleh menyediakan lagi banyak peluang pekerjaan untuk mengelak penghijrahan keluar ke wilayah lain.

    BalasPadam
  5. soal pekerjaan, penduduk tempatan perlu meningkatkan lagi kemahiran agar dapat bersaing dengan warga asing. saya pasti kebanyakan warga asing ni tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan sepatutnya penduduk tempatan lebih mudah untuk mendapatkan pekerjaan.

    BalasPadam
  6. jika dalam soal saingan mendapatkan pasangan hidup, perlu difikir apa sebenarnya punca penduduk tempatan lebih cenderung untuk memilih warga asing ni.

    BalasPadam
  7. Apa kelebihan lelaki warga asing yang lelaki tempatan tidak ada? Jika ada kelemahan yang boleh dibaiki, perbaikilah diri.

    BalasPadam
  8. Kerajaan persekutuan kena bentuk satu mekanisma untuk mengawal kemasukan pendatang asing ke malaysia...jika terlalu banyak, kesan sosial seperti tercatat dalam artikel akan bertambah teruk...

    BalasPadam
  9. Sukar untuk menentukan bab2 jodoh ni. Tapi kalau pasal pekerjaan, persaingan memang tinggi. Tingkatkan kemahiran dan tidak mudah putus asa.

    BalasPadam
  10. Nampaknya Pahang menghadapi masalah mencari pasangan jodoh kerana kekurangan wanita kerana berhijraha dan juga kerana saingan dari warga asing.

    BalasPadam
  11. penghijrahan golongan wanita ke tempat lain mungkin boleh dikawal dengan menyediakan lebih banyak peluang kerja.

    BalasPadam
  12. Susah mahu komen lah kalau bab pasangan hidup ni. hihi

    BalasPadam
  13. Apapun, isu warga asing patut ditanggani secara berhemah bagi mengelakkan sebarang perkara yang tak baik berlaku.

    BalasPadam
  14. kita tidak boleh lari dari persaingan.. mahu tidak mahu kita terpaksa berhadapan.. soal persaingan antara warga asing dan penduduk tempatan, penyelesaian yang paling berkesan ialah hantar semua warga asing balik ke negara asal atau kurangkan jumlah mereka..

    BalasPadam
  15. warga asing semakin ramai, mereka ini menyukarkan orang tempatan dalam mendaptkan pekerjaan dan pada masa sama mendaptkan pasangan. masalah ini haris diambil berat.

    BalasPadam
  16. Masalah meningkat bila jumlah warga asing meningkat.

    BalasPadam