Kerajaan Diminta Bekal Generator Baru Ke Sabah
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Seorang Anggota Parlimen dari Sabah hari Selasa meminta kerajaan supaya membekalkan generator baru untuk mengatasi masalah gangguan tenaga elektrik di negeri itu.
Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan generator terpakai ke Sabah, menggambarkan seolah-olah rakyat Negeri di Bawah Bayu itu adalah rakyat kelas kedua.
"Dulu saya kata jangan dianggap rakyat Sabah ini rakyat kelas dua, saya dapat jawapan tidak, rakyat Sabah adalah 'fixed deposit' (simpanan tetap) BN... tetapi kini jelas, apabila diakui generator second hand (terpakai), rakyat Sabah dianggap sebagai rakyat kelas dua dalam negara ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Ghapur menggesa kementerian yang bertanggungjawab supaya memulangkan kesemua generator terpakai kepada Sime Darby dan membeli generator baru untuk dibekalkan ke Sabah.
"Kalau tidak, saya akan teriak lagi dalam sesi Parlimen akan datang," katanya.
Abdul Ghafur berkata pembelian generator baru itu perlu dilakukan untuk menangani masalah gangguan tenaga elektrik yang serius di Sabah.
Kerajaan negeri Sabah, rakyat Sabah sangat-sangat berdukacita kerana lampu di Sabah satu hari sampai 15 kali putus.
"Perdana Menteri pergi ke Tawau pada 13 Sept tahun lepas dan beliau sudah bagi jaminan lampu akan dipulihkan dengan pembelian generator-generator baru supaya gangguan dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan sejumlah peruntukan untuk pembelian generator itu.
"Pada mulanya rakyat tidak tahu, TNB bila diberi peruntukan, ia membeli beberapa puluh generator second-hand (terpakai) daripada Sime Darby dan bawa ke Sabah.
"Saya tahu, saya luahkan dalam akhbar, saya beritahu ini masalah dan saya mahu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat," katanya.
Abdul Ghafur berkata kenyataan pengurus besar TNB dan menteri berkenaan juga menyebut bahawa generator yang dibeli untuk Sabah adalah generator terpakai.
Selain itu, wakil rakyat berkenaan juga berkata Kementerian Dalam Negeri belum melaksanakan sebarang tindakan positif di tempat-tempat jenayah yang dikategorikan sebagai "panas".
Beliau turut meminta supaya bayaran kursus kahwin di seluruh negara diselaraskan.
"Orang yang mahu mendirikan rumah tangga di Sabah, susah sebab kerajaan negeri atau mungkin Majlis Agama, saya tidak tahu, atau Jabatan Agama Islam Sabah mahu kutip duit, (tapi) orang yang mahu kahwin, ada kursus kahwin (kena) bayar RM400 satu kelamin... syarikat ini memungut keuntungan yang begitu banyak, jadi saya minta semua ini diselaraskan dari Perlis sampai ke Sabah," katanya.
----
Tiada ulasan:
Catat Ulasan