Khamis, Februari 25, 2010

SUARA HATI WARGA PENDATANG DI SABAH

SUARA HATI WARGA PENDATANG DI SABAH

Saudara Pengarang,

BERKATA bukan melata, bercakap bukan mengungkap. Melolong bukan menyokong. Salam ukhwah kepada semua pembaca Sabahkini.net.

Saya adalah seorang daripada generasi yang dikatakan warga pendatang. Ibu bapa saya mendapat kerakyatan (melalui kuatkuasa undang-undang) semasa saya belum lahir, bermaksud, setelah lahir saya seorang warganegara dan saya layak dilayan sebagai warganegara.

Tetapi malangnya, sejak dari sekolah rendah sehinggalah ke IPT, saya dianaktirikan kerana saya keturunan warga pendatang dan gagal menikmati semua kemudahan termasuk biasiswa, pinjaman, buku teks dan sebagainya.

Saya harap agar Warganegara Malaysia dapat membezakan antara pekerja asing dan pendatang tanpa izin. Begitu juga dengan mereka yang datang dan memohon warganegara secara sah.

Perlukah mereka ini dihukum kerana latarbelakng yang berasal dari negara lain? Salahkah mereka belajar seperti orang lain yang berasal dari Sabah andai mereka di terima sebagai warganegara.

Adakah anak pendatang ini semua mendapat bantuan dari kerajaan sepertimana yang dinikmati oleh ‘penduduk asal'.berdasarkan apa yang saya alami, biasiswa Yayasan Sabah dan biasiswa kerajaan negeri sangat sedikit dinikmati oleh kaum pendatang, berbanding kaum tempatan yang boleh dikatakan asal saja tertulis kaum ‘A’ walaupun tidak layak dari segi akademik namun tetap akan akan dapat.

Manakala dari segi kesungguhan menimba ilmu, walaupun gaji cuma RM200-RM300, mereka sanggup menyekolahkan anak mereka dengan membayar yuran RM240 sebagai yuran warganegara asing, berbanding segelintir penduduk tempatan yang tidak menyekolahkan anak kerana takut membayar yuran RM50-60 setahun.

Walaupun peluang yang diberikan kepada pelajar tempatan sangat besar, tapi kurang yang bersungguh-sungguh untuk merebut peluang tersebut. Akibatnya apabila pelajar kaum pendatang menjadi lebih baik, mereka dikatakan merampas hak orang tempatan.

Andai orang tempatan lebih baik dari pendatang yang serba kekurangan ini, pendatang tidak akan dapat ke mana-mana. Mereka akan tetap tinggal di ladang-ladang, menjadi buruh binaan atau buruh kasar di bengkel-bengkel.

Tetapi kerana peluang yang dilepaskan itulah, pendatang ini diberikan peluang itu.

Harus diingat, bukan kaum pendatang ini yang memberi kerakyatan, peluang dan ruang kepada pendatang itu sendiri, tetapi orang tempatan yang mempunyai motif tertentu.

Memang lumrah manusia, peluang yang datang tidak akan di lepaskan. Harimau mana yang menolak daging? Adakah itu salah? Andai anak mereka ditawarkan bersekolah, adakah mereka patut lepaskan? Andai anak mereka ditawarkan ke IPT adakah mereka patut menolak?

Tetapi peluang yang tidak diambil oleh orang tempatan itulah yang digunakan oleh pendatang ini. Tambahan pula mereka bukan merampas atau menuntut, tetapi mereka disajikan dengan peluang.

Perumpamaanya, ibu ayam memberi makan kepada anak ayam dan anak itik dari luar pagar melihat. Tetapi apabila anak ayam tidak mahu makan dan meninggalkan makanan tersebut maka anak itik datang dari luar dengan susah payah melompat pagar untuk mengambil makanan yang di sia-siakan oleh anak ayam tersebut.

Yang terakhir, saya sebagai anak warganegara Malaysia, saya lebih cintakan negara Malaysia berbanding negara asal ibu bapa saya. Saya sanggup mencurahkan bakti kepada negara ini dan buktinya kini saya juga turut menyumbang untuk negara.

Sudah pastinya, itu juga yang dirasai oleh rakan yang senasib dengan saya. Adakah kami bukan patriotik? Bahasa Melayu itulah bahasa yang kami gunakan seharian. Kepatuhan kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong, tidak perlu dipersoalkan lagi.

Bagi saya, jika mereka memohon dengan cara yang sah, mengisi borang, menghantar ke jabatan yang sepatutnya dan diluluskan berdasarkan syarat yang ditetapkan dan dan terima sebagai warganegara, maka kita harus terima mereka seadanya.

Apa pun, jangan menyalak bukit yang ada di hadapan mata, tetapi cubalah mendaki bukit itu supaya anda lebih tinggi daripadanya.

Salam Hormat,

Anak Mantan Pati Yang Keliru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan