Isnin, Januari 18, 2010

OSAMA BERADA DI SEPANYOL ?

AS tarik balik gambar wajah Osama

image

DARI kiri, LAKARAN gambar Osama yang menyerupai Gaspar Llamazares (kanan).

FBI akui lakaran hasil ubahsuai muka seorang tokoh politik Sepanyol

MADRID: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) terpaksa mengaku bahawa lakaran terbaru wajah suspek pengganas Osama bin Laden diedar minggu lalu sebenarnya bukan hasil teknologi canggih, sebaliknya adalah hasil pengubahsuaian wajah seorang ahli politik Sepanyol.

FBI minggu lalu mengedarkan gambar ketua kumpulan al-Qaeda itu yang didakwa diubahnya secara digital untuk menunjukkan Osama pada usia yang lebih tua sejak serangan 9/11, tanpa janggut panjang dan serbannya.

Gambar itu diedarkan Jabatan Negara AS dan FBI dalam usaha mereka untuk memberkas Osama yang diburu sejak serangan pengganas terhadap AS pada 2001 yang dipersalahkan terhadap al-Qaeda.

Bagaimanapun selepas ahli politik Sepanyol, Gaspar Llamazares, 52, membantah gambarnya digunakan tanpa kebenaran Jabatan Negara AS menarik balik gambar diedarkannya ke seluruh dunia itu.

Llamazares, seorang ahli parlimen dari Madrid mengenal pasti beberapa ciri mukanya digunakan FBI untuk menghasilkan gambar digital berkenaan.

Ahli parlimen parti komunis itu yang juga bekas ketua barisan haluan kiri di parlimen berkata, ciri mukanya seperti dahi, rambut dan dagu dalam gambar kempen pilihan raya lama digunakan FBI untuk menghasilkan wajah Osama yang lebih berusia.

FBI sebelum ini berkata, ia menggunakan teknologi terkini untuk menghasilkan gambar baru 18 daripada suspek pengganas paling diburu untuk dipaparkan di laman web Habuan untuk Keadilan kendalian Jabatan Negara.

Bagaimanapun, akhbar Telegraph Britain melaporkan kelmarin jurucakap FBI, Ken Hoffman mengakui seorang juruteknik yang tidak puas hati dengan ciri rambut dihasilkan oleh komputer biro itu memutuskan menggunakan sebahagian daripada ciri muka ahli parlimen Sepanyol itu yang ditemuinya ketika melayar internet.

"Juruteknik itu tidak tahu pun imej siapa yang dipakainya dan beliau tidak berniat jahat atas perlakuannya itu."

Llamazares berkata, kesilapan itu menunjukkan kelemahan perkhidmatan risikan AS itu. Ia boleh menyebabkan masalah kepada individu yang disalah cam sebagai suspek pengganas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan