Isnin, Januari 18, 2010

PENDATANG ASING TANPA IZIN (PTI) MENGUASAI KAKI LIMA PEKAN KENINGAU ?

Pendatang bolot kaki lima

TUKANG jahit jalanan warga asing di kaki lima kedai mencacatkan pemandangan di bandar Keningau.
Tukang jahit jalanan punca premis niaga sesak, cacat keindahan Keningau

KENINGAU: Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kehadiran mereka menyebabkan kawasan kaki lima kebanyakan premis perniagaan di bandar ini sesak. Orang ramai mengeluh kerana terpaksa bersesak-sesak ketika melalui kawasan berkenaan.

Itulah yang boleh digambarkan mengenai kemunculan tukang jahit di kaki lima premis perniagaan di bandar ini sejak beberapa bulan lalu.

Kebanyakan tukang jahit berkenaan dipercayai pendatang tanpa izin yang mencari rezeki dengan menawarkan perkhidmatan menjahit pakaian pada harga murah berbanding kedai jahit di premis perniagaan.

Tukang jahit jalanan dikesan memilih kaki lima berhampiran kedai menjual pakaian sebagai lokasi operasi, dipercayai untuk menarik perhatian pelanggan yang ingin membeli pakaian.

Dengan menawarkan perkhidmatan murah antara RM3 hingga RM10, orang ramai, terutama yang ingin mengubah saiz pakaian seperti memendekkan kaki seluar, cenderung memilih perkhidmatan berkenaan.

Selain harganya yang rendah, pelanggan juga memilih tukang jahit kaki lima kerana tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan semula pakaian yang diubah suai. Dalam tempoh antara 15 dan 30 minit, mereka sudah mendapatkan semula pakaian itu.

Mereka beroperasi dari jam 8 pagi hingga lewat petang dengan menjadikan kaki lima pasar raya, pasar malam dan lorong laluan pejalan kaki untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Kehadiran mereka mencacatkan pemandangan di kaki lima premis perniagaan di bandar ini, terutama di kalangan mereka yang pertama kali berkunjung ke bandar ini.

Ironinya, ada antara tukang jahit terbabit tidak segan silu mengusung mesin jahit dan beroperasi di kaki lima kedai jahit.

Seorang tukang jahit jalanan yang hanya ingin dikenali sebagai Rizal dan berusia pertengahan 40-an ketika ditemui di sini semalam, berkata beliau sudah menjalankan perniagaan itu sejak setahun lalu dengan modal RM180 untuk membeli mesin jahit terpakai.

"Saya mendapat antara RM30 dan RM80 sehari bergantung kepada pakaian yang dijahit. Kami cari makan saja. Jahit segera murah-murah. Kalau awal bulan, ramai pelanggan. Kalau tidak ada pelanggan, kami buat kerja lain, jual ikan dan tukang kasut. Mahu hidup," katanya.

Sementara itu, pengusaha kedai jahit berlesen, Suminah Taransih, 33, berkata kemunculan tukang jahit jalanan memberi kesan kepada beliau kerana pelanggannya berkurangan akibat tertarik dengan harga lebih murah ditawarkan tukang jahit jalanan.

"Dulu ada dua atau tiga orang (tukang jahit jalanan) tetapi sekarang semakin ramai. Majlis Daerah Keningau (MDK) harus mengambil tindakan segera mengatasi masalah ini," katanya.

Seorang lagi pemilik kedai jahit yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, berkata tukang jahit jalanan tanpa segan silu menjalankan perniagaan haram seolah-olah tindakan mereka itu tidak menyalahi undang-undang.

"Saya hairan mengapa MDK tidak mengambil tindakan terhadap mereka. Kalau mereka semakin ramai, saya boleh gulung tikar," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta MDK segera menjalankan operasi membersihkan tukang jahit jalanan bagi memastikan tukang jahit berlesen yang membayar cukai perniagaan dan cukai pintu mampu meneruskan operasi tanpa diancam tukang jahit jalanan yang tidak membayar cukai.

"Kerajaan menggalakkan rakyat tempatan berniaga. Bagaimanapun, apabila kita menjalankan perniagaan dengan baik, ada pula rakyat asing yang mengancam perniagaan kita.

"Kalau perkara ini berlanjutan, kami terpaksa membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan