PBS Mahu Pengundi Sabah Di Semenanjung Diberi Peluang Mengundi
KOTA KINABALU, 26 Jan (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji sistem pengundian di negara ini tetapi mahu supaya rundingan sewajarnya diadakan terlebih dahulu dengan parti politik.
Mengulas kajian SPR memperkenalkan sistem pengundian awal, Setiausaha Agung PBS, Henrynus Amin, berkata mereka terkejut dengan pengumuman langkah itu tanpa SPR merujuk parti itu atau mana-mana pemimpin parti itu untuk mendapatkan pandangan.
"Dari mula lagi, cadangan itu nampak mudah tetapi sebenarnya ia menimbulkan lebih banyak persoalan kerana SPR dilihat membayangkan wujudnya kesilapan dalam sistem pengundian pada ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini hari Selasa.
Katanya PBS ingin mengetahui bahagian mana dalam sistem pengundian semasa yang didapati silap dan juga memohon jawapan bagaimana cadangan pengundian awal itu dapat menyelesaikan sebarang masalah.
Henrynus berkata adalah tidak betul untuk parti politik untuk bersetuju dengan cadangan itu ketika ini atau sebaliknya tanpa mendapat peluang terlebih dahulu untuk menerokai dan mempertimbangkan pelbagai kesan daripada cadangan itu.
Katanya PBS akan menulis surat kepada SPR untuk mendapatkan penjelasan mengenai cadangan itu sebelum membuat kenyataan susulan berhubung rancangan itu.
Dalam pada itu, Henrynus menggesa SPR untuk melihat nasib lebih 50,000 pengundi Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia yang tidak dapat mengundi pada pilihan raya umum.
Katanya, jika ada sebarang perubahan dalam sistem pengundian maka PBS mendesak pengundi Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan