KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Maxis Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM807 juta dalam tempoh suku ketiga berakhir 30 Sept, 2009, berbanding RM692 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Peningkatan itu sebahagian besarnya adalah hasil pendapatan ke atas faedah, cukai pelunasan dan susut nilai (EBITDA) yang rendah, kata syarikat telekomunikasi itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari Isnin.
Perolehan meningkat dua peratus kepada RM2.156 bilion berbanding RM2.119 bilion sebelumnya dan ia disumbangkan hasil peningkatan tiga peratus dalam langganan mudah alih, menjadikan langganan syarikat kepada 11.7 juta.
"Kami mendapat galakan oleh pertumbuhan perolehan bukan suara yang menyumbang 33 peratus perolehan mobiliti. Kami menjangkakan ia bakal menjadi pertumbuhan masa depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das.
"Kami yakin perolehan telekomunikasi Malaysia akan terus berkembang memandangkan kami kini dalam peringkat peningkatan jalur lebar," kata Sandip.
Beliau berkata paras penembusan dan penggunaan data juga akan meningkatkan perolehan terutama berdasarkan bilangan penduduk muda yang meningkat.
Bagi Maxis, perolehan pasca bayar dan prabayar setiap pengguna (ARPU) terus stabil, masing-masing pada RM103 dan RM41.
Minit pasca bayar bagi setiap pelanggan kekal pada 373 minit manakala prabayar meningkat empat minit kepada 119 minit.
Maxis mengumumkan dividen interim dikecualikan cukai satu peringkat enam sen seunit bagi saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2009, yang akan dibayar pada 15 Jan tahun depan.
Tarikh hak untuk pembayaran dividen ialah pada 31 Dis, 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan