Selasa, Disember 01, 2009

PENAN ISYTIHAR 163,000 HEKTAR HUTAN DI BARAM SEBAGAI TAMAN KEAMANAN

MIRI, 30 Nov (Bernama) -- Sekumpulan 200 penduduk kaum Penan telah mengisytiharkan kawasan hutan seluas 163,000 hektar di Hulu Baram sebagai Taman Keamanan Penan, demikian didakwa oleh Tabung Bruno Manser (BMF), sebuah pergerakan alam sekitar yang berpangkalan di Switzerland.

Dalam e-mel kepada Bernama di sini hari Isnin, BMF mendakwa majlis perisytiharan itu berlangsung di Long Ajeng, sebuah perkampungan pedalaman di Baram, baru-baru ini.

Kumpulan itu meluluskan pembentukan taman tersebut dengan tujuan memulihara kawasan itu sebagai hutan simpanan yang dianggap kawasan hutan purbakala terakhir bagi kaum Penan, kata BMF.

"Kaum Penan ingin membangunkan pelancongan di kawasan mereka dan mendesak perlindungan kepada hak adat mereka," kata kenyataan dalam e-mel tersebut.

Kenyataan itu memetik bekas penghulu Penan, James Lalo Kesoh, sebagai berkata bahawa masyarakatnya masih bergantung kepada hutan itu sebagai sumber mata pencarian mereka dan mereka perlu memulihara kawasan itu untuk generasi masa depan.

"Walaupun kami sudah memulakan kehidupan sebagai petani sejak akhir 1950an, tetapi kami masih bergantung kepada hutan ini untuk bekalan makanan, rotan untuk buat kraftangan, tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan dan produk hutan lain," katanya.

Sementara itu, ketua kampung Long Ajeng, Jawa Nyipa, berkata mereka berharap perisytiharan itu akan membolehkan mereka dapat hidup bersama jiran kaum lain dengan aman sebagai "warga Malaysia yang sepenuhnya".

"Kami panggil taman ini sebagai 'Taman Keamanan' kerana keamanan adalah konsep penting dalam budaya kami," katanya.

BMF berkata perisytiharan taman baru itu menandakan cabaran kaum Penan terhadap kerajaan Sarawak yang telah mengenalpasti kawasan itu untuk pembalakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan