KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kabinet bersetuju merombak kurikulum dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata keputusan kabinet minggu lalu itu dibuat bagi memastikan kursus tersebut tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja dan tidak memecahkan rakyat mengikut etnik.
"Kita harus merombak kurikulum BTN. Sekarang konsep IMalaysia. Kurikulum sebelum ini tidak menepati dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari Isnin.
Isu BTN memuncak apabila kerajaan Selangor minggu lalu memutuskan melarang kakitangan dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri itu daripada mengikuti kursus atau program BTN berkuatkuasa serta merta.
Arahan kerajaan Negeri Selangor itu dikeluarkan kerana program BTN didakwa sekadar sesi membasuh otak yang sengaja diolah Barisan Nasional (BN) untuk meracuni pemikiran peserta bagi membenci pembangkang selain dijadikan tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Tindakan Negeri Selangor itu juga dijangka bakal diikuti kerajaan negeri Pulau Pinang.
Mohamed Nazri berkata, jika bercakap mengenai integrasi kaum, semestinya kita tidak boleh bercakap mengenai satu kaum itu sahaja, sedangkan kaum lain juga dijemput sama.
"Sehubungan itu saya percaya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah pun mengarahkan BTN untuk membuat rombakan tersebut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan