Selasa, Ogos 04, 2009

UAV KELUARAN MALAYSIA DILANCAR AWAL TAHUN DEPAN

imageSEMPORNA, 3 Ogos (Bernama) -- Pesawat Peninjau Tanpa Pemandu (UAV) keluaran sebuah syarikat tempatan untuk kegunaan Angkatan Tugas Bersama (ATB) dalam Operasi Pandanan dan Sipadan Resort (Ops Pasir), dijangka dilancar awal tahun depan, kata Menteri Pertahanan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

image Katanya pesawat UAV buatan Unmanned Systems Technology Sdn Bhd (UST) itu berkeupayaan menghantar data termasuk gambar kepada pusat operasi untuk dianalisis bagi membolehkan tindakan susulan yang pantas diambil jika perlu.

image "Saya amat sukacita dengan kemampuan UAV buatan tempatan ini tetapi mungkin dalam waktu terdekat kita boleh memperbaiki beberapa prestasi (UAV ini) yang melibatkan soal jauh perjalanannya, kawasan radius dan juga jangka hayat penerbangan yang diperlukan bagi satu-satu operasi.

image "Namun pada hemat saya, ini adalah satu langkah awal dan dengan pemindahan teknologi dari beberapa syarikat UAV negara lain yang sudah mengeluarkan UAV ini, saya yakin langkah awal ini cukup membanggakan kita.

image "Kita perlu mengkaji beberapa pembaikan yang perlu dilakukan supaya ia sesuai dengan iklim tempatan, peredaran angin serta bentuk permukaan bumi," katanya selepas melawat Kem Sri Wangsa dan menyaksikan uji pandu pesawat UAV yang dikenali sebagai ALUDRA di sini Isnin.

image Katanya Malaysia memerlukan pesawat jenis UAV berkeupayaan tinggi seperti itu bagi melaksanakan tugas tinjauan yang meliputi kawasan pantai negara sepanjang 1,700 kilometer bagi memudah dan melicinkan tugas anggota ATB seperti tentera laut, darat, udara serta agensi penguatkuasaan lain mengambil langkah susulan.

Ahmad Zahid berkata secara idealnya negara memerlukan sekurang-kurangnya 12 unit pesawat UAV malah jika perlu mewujudkan satu skuadron khas untuk pesawat UAV ini namun negara juga perlu realistik dari segi belanjawannya.

image Sehubungan itu, katanya buat masa ini sudah memadai sekiranya negara memiliki enam unit UAV untuk tugas-tugas tinjauan di perairan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung kerana keperluan UAV belum sampai ke tahap yang amat mendesak.

image Ahmad Zahid berkata pada masa ini Malaysia juga sudah memiliki prototaip sejenis UAV yang tidak memerlukan landasan untuk melancarkannya dan UAV jenis ini boleh menjimatkan kos pembinaan infrastruktur.

Katanya kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk meningkatkan teknologi UAV sedia ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan