LABUAN, 24 Julai (Bernama) -- Anggota Parlimen Barisan Nasional akan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen di kawasan masing-masing, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata dengan pelantikan berkenaan, para Anggota Parlimen boleh membuat rancangan dan strategi bagi memajukan sektor pertanian di kawasan masing-masing.
"Semua Anggota Parlimen BN akan menerima surat pelantikan dan dijemput menghadiri seminar untuk taklimat mengenai peranan dan tanggungjawab mereka," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bulanan Industri Asas Tani Bersama Rakyat di sini pada hari Jumaat.
"Kami mahu kawasan Parlimen di negara ini bergiat cergas dalam sektor pertanian. Dengan pelantikan Anggota Parlimen sebagai Pengerusi Majlis, mereka tidak mempunyai alasan tidak dibekalkan dengan maklumat program dan projek pembangunan pertanian di kawasan mereka. Jawatan Pengerusi ini akan memberikan mereka kuasa untuk merancang projek pembangunan pertanian di kawasan mereka," katanya.
Rohani berkata majlis itu akan dibantu Lembaga Persatuan Peladang yang berfungsi sebagai sekretariat kecuali di Sarawak, di mana peranan itu dilakukan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Katanya Pengerusi Majlis itu juga mempunyai kuasa untuk melantik sesiapa yang mempunyai latar belakang pertanian menganggotai majlis itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan