Jumaat, November 25, 2011

HAK TANAH ADAT BUMIPUTERA (NCR): KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN DIKETEPIKAN

Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR): Keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan

PENJELASAN... Kong (tengah) dikelilingi penduduk kampung ketika memberikan penjelasan.

KOTA KINABALU Nov 24, 2011: Mahkamah Persekutuan di sini kelmarin mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan tiada kuasa perundangan mendengar kes saman yang dibawa oleh lima penduduk kampung berhubung permohonan hak tanah adat bumiputera (NCR) di Kinabatangan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdul Hamid Embong sebulat suara membuat keputusan itu terhadap Darinsok Pangiran Apan, Kayah Unto, Wilster Lewrince, Jaafar Dorong, dan Jaimon Darinsok menentang keputusan Mahkamah Rayuan lima bulan lepas.

Menurut tiga korum hakim berkenaan, Mahkamah Tinggi tidak seharusnya mengenepikan permohonan semua plantif hanya berdasarkan bantahan awal.

Untuk itu, mereka memerintahkan perkara berkenaan dipindahkan semula ke Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang dilakukan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi mengikut Peraturan 18 Kaedah 19 Mahkamah Tinggi, yang mana mempunyai kuasa perundangan mendengar permohonan plantif.

Mahkamah Persekutuan di sini kelmarin dipenuhi dengan penduduk kampung dan sebahagiannya melihat prosiding berkenaan di luar mahkamah melalui skrin yang disediakan.

Semua plantif yang mewakili sebahagian penduduk lain yang melibatkan Kg Maliau, Kg Minusoh, Kg Liupampang, Kg Namukon, Kg Mananam, Kg Napagang, dan Kg Lanung, Kinabatangan (kawasan Tongod) telah memfailkan saman pada 11 Oktober 2002 dengan menamakan Hap Seng Consolidated Bhd, Asiatic Development Bhd, Tanjung Bahagia Sdn Bhd, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, dan kerajaan negeri sebagai defendan pertama, kedua, ketiga, keempat, dan kelima.

Dalam saman itu, mereka berusaha mendapatkan pengesahan bahawa mereka mempunyai hak mengikut NCR atas tanah berkenaan dan mengisytiharkan pengasingan, pengeluaran dan pendaftaran tanah seluas 8,830 hektar atau 21,819 hektar diletakkan di dalam daerah Tongod, kepada defendan pertama adalah tidak sah.

Selain itu, mereka juga memohon pengisytiharan tindakan oleh defendan keempat dan kelima mengasingkan, mengeluarkan dan mendaftarkan tanah berkenaan adalah salah dan bertentangan dengan Lembaga Persekutuan.

Mereka juga memohon perintah mandatori menentang defendan kedua dan ketiga melakukan operasi dan membuka semua struktur, peralatan atau mesin dari tanah berkenaan dan menuntut ganti rugi terhadap kerosakan yang berlaku.

Pada tahun 2003, defendan telah mengemukakan rayuan membatalkan tuntutan plaintif atas alasan Mahkamah Tinggi tiada kuasa untuk mendengar tuntutan mengikut Peraturan 18 Kaedah 19.

Rayuan itu didengar oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang kemudiannya menolak atas sebab Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa mendengar tuntutan plaintif.

Defendan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang masih belum selesai.

Pada 18 Mac 2005, defendan pertama, kedua, dan ketiga mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Tinggi terhadap mendengar permohonan plaintif untuk injuksi mengikut Perintah 29 Peraturan 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Pada 20 Jun 2008, Mahkamah Tinggi mengekalkan bantahan awal yang dikemukakan defendan, bahawa Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa untuk mendengar tuntutan NCR seperti yang dinyatakan pihak plaintif.

Bagaimanapun, pihak plaintif tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan merayu semula ke Mahkamah Rayuan.

Pada 9 Jun, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Low Hop Bing, Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk David Wong Dak Wah, menolak rayuan plaintif dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Merujuk muka surat ke-14 penghakiman berkenaan, Mahkamah Rayuan memerintahkan Penolong Pemungut Cukai Tanah (ACLR) untuk menjalankan siasatan awam dalam masa 60 hari mengikut Ordinan Tanah Sabah atas bantahan awal, sekiranya berlaku penipuan sementara menunggu keputusan ACLR.

Selain itu, mahkamah juga menolak saman semula yang masing-masing difailkan oleh Asiatic Development Bhd dan Tanjung Bahagia Sdn Bhd agar pengisytiharan terhadap semua plaintif  tidak mempunyai hak NCR kerana perkara itu tidak dinyatakan di hadapan ACLR.

Pada 25 Julai tahun ini, pihak plaintif telah melakukan rayuan di Mahkamah Persekutuan dan telah dibenarkan bagi menentang Keputusan Mahakamah Rayuan.

Semua plaintif diwakili peguam Datuk Kong Hong Ming dan Mary Lee Chung Ching, manakala peguam Datuk Simon Shim mewakili defendan pertama. Sementara itu, peguam Denis Tan mewakili defendan kedua dan ketiga, manakala defendan keempat dan kelima diwakili Peguam Negeri Julita Gumpil.

12 ulasan:

  1. Keputusan Mahkamah perlulah dipatuhi.

    BalasPadam
  2. Harap mahkamah akan memutuskan kes ini dengan adil dan saksama. Keadilan perlulah ditegakkan.

    BalasPadam
  3. mahkamah dah membuat keputusan, kenalah terima keputusan berikut.

    BalasPadam
  4. apapun, hak tanat adat harus dipertahankan.

    BalasPadam
  5. keputusan mahkamah pastinya dibuat berlandaskan keadilan dan undang-undang.

    BalasPadam
  6. apa pun, harap kepentingan semua sentiasa dijaga dengan sebaiknya.

    BalasPadam
  7. terlalu rumit.. saya harap keputusan mahkamah kelak akan menyebelahi penduduk kampung.. kadang2 syarikat2 besar ini perlu diberikan pengajaran..

    BalasPadam
  8. Hak penduduk kampung harus dibela daripada terus ditindas.

    BalasPadam
  9. Plaintif/penduduk kampung sudah memfailkan saman sejak 2002 lagi. lama juga perkara ni selesai.

    BalasPadam
  10. nampak gaya kes ini tidak memihak pada pihak plaintif.

    BalasPadam
  11. Keputusan mahkamah adalah muktamad..

    BalasPadam
  12. Mungkin ada sebab kenapa rayuan kes saman ini ditolak. Maka terimalah sebaiknya keputusan yang dibuat.

    BalasPadam