Benigno Aquino sah menang
BENIGNO `Nonoy’ Aquino ceria menjawab soalan pemberita selepas diumumkan secara tidak rasmi memenangi pilihan raya Presiden Filipina di Hacienda Lusita, provinsi Tarlac di utara Filipina, semalam. – AP
MANILA 11 Mei – Senator Benigno ‘Noynoy’ Aquino disahkan hari ini sebagai Presiden Filipina yang akan datang selepas beliau menumpaskan lawan-lawannya dalam pilihan raya kebangsaan dengan ikrar untuk memerangi rasuah dan menurunkan kadar kemiskinan.
Pesaing utamanya, jutawan hartanah Manny Villar mengaku kalah dan Aquino sendiri mengadakan sidang media untuk mengisytiharkan kemenangannya selepas pengiraan berkomputer menunjukkan beliau membolot 40 peratus undi.
“Rakyat Filipina sudah membuat keputusan. Saya mengucapkan tahniah kepada Senator Noynoy Aquino atas kemenangannya,” kata Villar pada satu sidang media berasingan.
Berjuta-juta rakyat Filipina keluar mengundi semalam, dalam pilihan raya pertama menggunakan sistem pengiraan berkomputer di negara ini, walaupun pengundian dicemari keganasan dan dilanda masalah dengan mesin pengiraan yang menyebabkan pengundi berbaris panjang.
Villar yang juga seorang Senator seperti Aquino berada di tempat kedua dalam perebutan jawatan Presiden itu sebelum dipintas oleh bekas Presiden Joseph Estrada yang memperoleh lonjakan pungutan undi pada saat-saat akhir.
Estrada hanya mendapat 25.5 peratus undi setelah lebih 78 peratus undi dikira, memberi Aquino kelebihan yang tidak mungkin diatasi lagi.
Aquino, 50, menarik sokongan pengundi semasa kempen pilihan raya dengan menjanjikan kerajaan bersih, berikutan pemerintahan Presiden Gloria Macapagal Arroyo selama hampir sedekad yang dicemari dakwaan rasuah.
Beliau ialah anak lelaki kepada wira demokrasi negara ini, Corazon ‘Cory’ Aquino yang mengetuai revolusi ‘Kuasa Rakyat’ bagi menjatuhkan Presiden Ferdinand Marcos pada 1989 dan kemudian menjadi Presiden.
Bapanya, Benigno ‘Ninoy’ Aquino ditembak mati pada 1983 ketika pulang dari Amerika Syarikat (AS) untuk mengetuai gerakan demokrasi menentang Marcos.
Kira-kira 75 peratus daripada 50 juta pengundi berdaftar mengundi di pusat-pusat pengundian semalam, peratusan tinggi yang mencerminkan komitmen kukuh rakyat Filipina terhadap demokrasi dan hasrat mereka untuk menentukan masa depan negara ini.
----
8dec8
Tiada ulasan:
Catat Ulasan