Sabtu, Februari 20, 2010

KEENGGANAN MEMATUHI ARAHAN AKAN MENIMBUL BANYAK MASALAH CONTOHNYA BEBERAPA KES PERGADUHAN YANG BERLAKU DI LUAR PUSAT HIBURAN BARU-BARU INI HINGGA HAMPIR MENGAKIBATKAN MAUT.

Pusat hiburan dilarang operasi selepas 1 pagi

KENINGAU 19 Feb. - Pemilik pusat hiburan di daerah ini diberi amaran supaya tidak beroperasi selepas pukul 1 pagi seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, arahan PBT itu perlu dipatuhi bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam tidak terganggu.

"Polis telah berkali-kali menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa terdapat beberapa pusat hiburan di sini beroperasi lebih daripada tempoh yang ditetapkan PBT.

"Kita tidak ada kuasa menghalang pengusaha pusat hiburan menghentikan operasi tetapi mereka perlu bertimbang rasa terhadap keselesaan orang awam," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, pusat hiburan yang beroperasi lebih masa itu mengganggu penduduk setempat kerana bunyi muzik dari pusat hiburan berkenaan dikatakan terlalu kuat dan bingit.

Zahari berkata, keengganan mematuhi arahan akan menimbul banyak masalah contohnya beberapa kes pergaduhan yang berlaku di luar pusat hiburan baru-baru ini hingga hampir mengakibatkan maut.

Beliau merujuk kepada tiga kes gaduh di pusat hiburan pada musim Tahun Baru Cina baru-baru ini yang kesemuanya berlaku antara pukul 3 hingga 3.30 pagi.

Menurutnya, satu daripada kes itu membabitkan pergaduhan menggunakan senjata tajam dan salah seorang yang terlibat ditikam di kiri perut.

Bagaimanapun, katanya, tikaman tersebut tidak serius dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan