Terjun laut elak ditangkap lanun
SEMPORNA: “Kecut perut kami. Muka kami pucat lesi. Kalau dipotong pun tak berdarah. Kami tak boleh buat apa-apa selain melarikan diri ke hujung pelantar.
“Ada dua atau tiga kawan kami terjun ke laut takut ditangkap mundu (lanun). Mundu itu tidak mahu tangkap kami tapi dia cuma mahu pengurus besar dan penyelia kami.”
Itulah yang berkali-kali diucapkan beberapa pekerja di pelantar pembiakan dan pemprosesan rumpai laut di perairan antara Pulau Sibangkat dengan Pulau Sibuan, Pulau Sirongol, Pulau Maiga dan Pulau Salahan, kira-kira 10 batu nautika dari sini, ketika ditemui Berita Harian, semalam.
Kira-kira 30 pekerja di pelantar berukuran kira-kira 200 X 100 meter itu terselamat daripada dilarikan sekumpulan lima lelaki bersenjata dua raifal dipercayai M16 dan parang kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.
Dalam kejadian itu, sekumpulan lima lelaki dengan dua dipercayai bersenjata senapang manakala yang lainnya membawa parang panjang, menyerbu pelantar, sebelum melarikan pengurus besar serta penyelia syarikat pembiakan dan pemprosesan rumpai laut berkenaan, masing-masing berusia 25 dan 40 tahun.
Seorang pekerja terselamat yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau dan beberapa rakannya tidur dalam satu daripada lima pondok di pelantar berkenaan ketika kejadian.
“Tiba-tiba kawan mengejutkan saya dan suruh saya lari. Saya tak tahu apa-apa waktu itu tetapi terus lari ke hujung pelantar. Ketika menyembunyikan diri di belakang pondok paling hujung, saya diberitahu ada mundu menyerang.
“Saya menggigil ketakutan. Saya nampak dua tiga kawan saya terjun ke dalam laut tapi mereka pandai berenang dan air pun tidaklah dalam sangat.. ada dalam satu meter rasanya,” katanya.
Seorang lagi pekerja berkata, kelima-lima penjenayah terbabit dipercayai memanjat tangga pelantar Stesen 1 dan terus ke pondok pertama di hujung pelantar yang dihuni pengurus besar dan penyelia.
“Saya lari ke belakang pondok. Saya tak nampak mundu itu tetapi ada dua atau tiga kawan saya nampak... ada lima orang, dua pegang senapang. Kawan yang nampak mundu itu dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan,” katanya.
"Kami cuma berani keluar dari tempat persembunyian selepas mendengar enjin bot meninggalkan pelantar. Saya tak nampak bot tetapi rasanya mereka menggunakan bot laju," katanya.
Sementara itu, tinjauan Berita Harian mendapati suasana di pekan ini berjalan seperti biasa manakala penduduk setempat tidak menunjukkan kebimbangan dengan kejadian itu, walaupun kejadian berkenaan berlaku kira-kira 10 batu nautika dari tanah besar atau setengah jam menaiki bot.
Seorang penduduk Pulau Bum-Bum, Mohd Sarabal Alian, 66, berkata beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas membaca akhbar pagi semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan