Hasil gentian kaca sekuat besi
DR. Rosalam Sarbatly menunjukkan antara bahan untuk menghasilkan smart membrant di UMS, baru-baru ini.
KOTA KINABALU 29 Jan. - Percaya atau tidak, gentian kaca mampu menyamai kekuatan besi berdasarkan pada momentum hentakan.
Pada asasnya bahan yang berasal daripada pasir dan kaca itu amat biasa dan tidak mungkin dapat menyamai kekuatan besi yang pejal dan keras.
Malah kerana keadaannya yang agak fleksibel, gentian kaca biasanya digunakan untuk membuat badan kenderaan air seperti bot.
Namun Galeri Penyelidikan Pusat Bahan dan Mineral (CMM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuktikan bahawa teknologi dapat mengubah segala impian menjadi kenyataan.
Menurut Dekan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat UMS, Prof. Madya Dr. Rosalam Sarbatly, hasil penyelidikan dan ujian yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu di pusat itu telah berjaya menghasilkan gentian kaca sekuat besi.
"Sebenarnya sekali imbas gentian kaca yang dipamerkan ini tiada perbezaan tetapi dengan kajian dan penyelidikan yang dilakukan di sini ia menjadi sekuat besi.
"Kajian dan penyelidikan itu dibuat beberapa penyelidik muda tempatan seperti, Yoong Hou Pin (kiri) dan Choong Wai Heng (kanan)," katanya.
Beliau memberitahu, gentian kaca itu amat sesuai digunakan dalam pelbagai industri termasuk pengangkutan kerana bukan sahaja kuat dan anjal tetapi murah serta lebih ringan berbanding besi.
Malah ujarnya, keanjalan bahan berkenaan juga menyebabkan ia lebih selamat dalam berhadapan dengan hentakan berbanding besi.
Jelas Rosalam, kejayaan itu hanya sebahagian daripada hasil penyelidikan yang berjaya dihasilkan oleh penyelidik tempatan di CMM.
Katanya, pelbagai lagi hasil penyelidikan yang bertaraf antarabangsa telah dihasilkan di pusat yang ditubuhkan pada 15 Mac 2006 itu.
"Pusat ini menjalankan program penyelidikan berorientasikan bahan dan mineral merangkumi penerokaan, pengeksploitasian dan juga penggunaannya secara efisien dalam industri tempatan dan antarabangsa.
"Jadi CMM adalah sebahagian daripada proses peningkatan kualiti dan prestij antarabangsa yang akan merangsang program pendidikan, penyelidikan dan pengkomersialan di UMS," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini CMM mempunyai 40 tenaga penyelidik daripada Sekolah Kejuruteraan dan Sekolah Sains Teknologi.
Selain itu katanya, CMM turut memiliki beberapa penyelidik muda yang sedang menjalankan penyelidikan di peringkat sarjana dan doktor falsafah di dalam UMS mahupun luar negara.
Ditanya jumlah produk yang telah dipatenkan, beliau berkata, setakat ini hanya beberapa produk telah dipaten untuk dikomersialkan.
"Bagaimanapun ini bukan bermaksud kita kekurangan bahan untuk dipaten tetapi hanya bahan tertentu sahaja kita pilih untuk dipaten kerana tidak mahu formulanya diambil pihak lain," katanya.
Tambahnya dalam usaha memperkembangkan peranan pusat itu, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai universiti terkenal di luar negara seperti Universiti Nottingham dan Universiti Lancaster di United Kingdom.
Dalam pada itu, Rosalam berkata, pihaknya juga sedang merancang pelbagai usaha bagi memperkasakan lagi pusat tersebut dalam usaha membantu pembangunan masyarakat khususnya di negeri ini.
Jelasnya, pelbagai usaha akan dibuat bagi memartabatkan lagi pusat itu sebagai pusat penyelidikan terulung di negeri ini.
"Walaupun sudah tiga tahun ditubuhkan, fungsi dan peranan pusat ini di UMS sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan masih belum dipublisitikan secara meluas.
"Galeri penyelidikan ini diharap akan membolehkan warga UMS dan masyarakat di Sabah khususnya mengetahui peranan CMM sebagai sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan yang terdapat di negeri ini," katanya.
Sementara itu, katanya, beliau berharap galeri itu akan menjadi sebuah tempat yang mesti dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang datang ke negeri ini sama ada ahli akademik atau pun orang awam.
"Harapan saya fungsi dan peranan galeri ini mampu menjadikan ia sebagai sebuah lokasi untuk dikunjungi sambil menambah pengetahuan berkaitan kajian bahan dan mineral," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan