Sabtu, Januari 30, 2010

PENAGIH KETIKA INI LEBIH CANGGIH DAN LICIK MENCIPTA SENDIRI DADAH MENGGUNAKAN FORMULA YANG DIPEROLEH DARIPADA INTERNET.

Dadah menerusi Internet berbahaya

PUTRAJAYA 29 Jan. – Buat dadah menerusi Internet? Realitinya, penagihan dadah sintetik itu dipercayai lebih bahaya kerana ia mampu mengubah seseorang menjadi lebih agresif, berani serta boleh bertindak di luar batas kemanusiaan.

Itulah yang menjadi kebimbangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang percaya trend penagihan dadah semakin beralih daripada memperoleh bahan itu menerusi pembekal kepada mencipta formula daripada Internet.

Mendedahkan demikian, Ketua Pengarah AADK, Datuk Abd. Bakir Zin percaya penagih ketika ini lebih canggih dan licik mencipta sendiri dadah menggunakan formula yang diperoleh daripada Internet.

‘‘Mungkin mereka berasa susah untuk mendapatkan bekalan disebabkan adanya penguatkuasaan, jadi mereka berusaha mencipta dadah sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas trend terkini memproses sendiri dadah.

Baru-baru ini, polis Negeri Sembilan berjaya membongkar kegiatan memproses dadah sintetik jenis ‘amphetamine’ (ATS) selepas menyerbu sebuah rumah pangsa di Taman Bukit Delima di negeri itu.

Abd. Bakir berkata, kewujudan dadah sintetik buatan sendiri itu merupakan antara faktor kepada peningkatan jumlah penagih dalam negara setiap tahun.

Menurut beliau, kira-kira seramai 75,247 penagih dikesan tahun lalu iaitu membabitkan sebanyak 17,500 penagih yang berdaftar di bawah AADK pada tahun lalu berbanding 12,500 pada tahun 2008.

‘‘Seramai 7,000 penagih pula sedang dirawat dalam Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) manakala 35,000 dalam komuniti.

‘‘Seramai 22,747 penagih telah diserahkan kepada pihak AADK untuk tujuan pemulihan,” katanya.

Abd. Bakir berkata, 70 peratus daripada penagih yang dikesan adalah dari kalangan kaum Melayu, Cina (20 peratus) manakala India (10 peratus).

‘‘Kebanyakan mereka yang terlibat adalah dari golongan berpendapatan rendah seperti buruh, nelayan dan pekerja kilang yang dikesan lebih terdedah dengan pengaruh luar.

‘‘Mungkin disebabkan oleh desakan dan tekanan hidup menjadi punca mereka terjebak dalam gejala itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan