Kunta Kinte: Politik haprak jauhkan pengundi
KIRA-KIRA 4.39 juta penduduk yang boleh mengundi tetapi tidak mendaftar jadi pemilih. Dianggarkan 65 peratus daripada mereka adalah Bumiputera. - Gambar hiasan
APA dah jadi dengan rakyat Malaysia? Bila pendatang asing – halal dan haram – banjiri negara, mereka marah bukan main.
Mereka tuduh dan salahkan pihak itu dan ini. Kunta Kinte pun marah juga. Tapi sekurang-kurangnya Kunta Kinte mengundi memilih wakil Kunta Kinte.
Kalau wakil itu tak buat kerja, malas, hadir sidang Dewan atau rasuah, Kunta Kinte berhak kutuk dia. Bila tiba pilihan raya, Kunta Kinte boleh ucap selamat tinggal kepada YB half-past-six itu.
Tapi ramai rakyat Malaysia, termasuklah yang kuat bersungut, merungut dan komplen, bukan saja tidak mengundi, malahan ramai yang tidak pun mendaftar jadi pemilih.
Jadi mereka tidaklah berhak cakap fasal demokrasi atau bersungut mengenai YB yang curi tulang, korup atau tuang sidang dewan.
Baru-baru ini, Kunta Kinte baca laporan Bernama yang kata kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang boleh mengundi tapi tak mendaftar jadi pemilih. Dianggarkan 65 peratus daripada mereka adalah Bumiputera.
Kunta Kinte tak tahulah apa fasal mereka tidak mendaftar sedangkan cara mendaftar sekarang cukup mudah. Kempen mendaftar pemilih pun kerap dibuat.
Adakah kempen-kempen pendaftaran tidak sampai ke tempat mereka? Adakah mereka tidak tahu hak mereka? Adakah mereka tidak percaya kepada sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini? Atau mereka memang tidak ambil peduli.
Mereka mungkin tidak tahu atau tidak peduli, tetapi dengan tidak mendaftar dan mengundi mereka sebenarnya menyerahkan nasib mereka kepada orang lain, iaitu kepada orang yang mendaftar dan mengundi.
Yang sangat menakutkan Kunta Kinte adalah ramainya orang Melayu dan Bumiputera yang tidak mendaftar.
Kalau aliran ini berterusan, akhirnya pemerintahan negara akan dipimpin bukan oleh kaum majoriti, iaitu Melayu dan Bumiputera tetapi oleh kaum-kaum minoriti. Tak payahlah Kunta Kinte sebut siapa mereka takut dituduh perkauman.
Ada orang kata mereka tak mendaftar atau kalau mendaftar pun tak keluar mengundi fasal mereka menyampah dengan ahli politik.
Betul. Kunta Kinte pun menyampah juga. Tapi selagi kita amalkan sistem demokrasi iaitu sistem 'oleh rakyat untuk rakyat', menjadi pemilih dan mengundi dalam pilihan raya adalah hak dan tanggungjawab mutlak kita.
Kalau kerana menyampah kita tak jadi pemilih atau tak keluar mengundi, orang lainlah yang akan pilih kerajaan yang akan perintah kita dan cukai kita.
Jadi, Kunta Kinte rasa kita wajib daftar jadi pemilih dan kita keluar mengundi. Kunta Kinte faham kalau kita tak mahu pangkah calon kawasan kita yang haprak, half-past-six dan kaki kelentong.
Tapi kita boleh tunjuk protes kepada parti-parti yang letak calon yang haprak, half-past-six dan kaki kelentong dengan bagi undi rosak.
Ada orang kata bagi undi rosak tak ada makna. Kunta Kinte kata maknanya besar. Maknanya kita meluat, benci, menyampah dan loya dengan calon rasuah, calon bermoral rendah dan calon tidak amanah.
Kunta Kinte sangat bimbang masa depan orang Melayu dan Bumiputera kalau makin ramai tak jadi pemilih atau tak keluar mengundi.
Tengok sajalah apa yang Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, kata. Yang paling ramai tak mendaftar adalah di negeri-negeri maju atau negeri yang ramai Bumiputera macam Selangor (dianggarkan 787,000 orang), Johor (605,000), Perak (526,000) dan Sarawak (473,000).
Jadi kita mintalah parti-parti politik buat kerja baik-baik supaya rakyat jelata yakin dengan mereka dan seterusnya dengan sistem demokrasi Malaysia.
Kunta Kinte takut negara kita akan jadi negara pemerintahan minoriti macam di Amerika Syarikat dan Eropah di mana amat sedikit rakyat jelata keluar mengundi kerana tidak percaya lagi dengan sistem demokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan