KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna dipanggil pulang oleh Menteri Luar Negeri untuk konsultasi berhubung pengundian terhadap resolusi berkaitan isu nuklear Iran yang diluluskan mesyuarat Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Austria bulan lepas.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri di sini, pada Ahad pengundian itu dilihat tidak selaras dengan tatacara kerajaan dan oleh sebab itu wakil berkenaan dipanggil pulang oleh Menteri Luar Negeri untuk konsultasi.
Dalam mesyuaratnya pada 27 Nov lepas, Lembaga Gabenor IAEA telah meluluskan resolusi bertajuk "Resolution on Implementation of the Nuclear Non-Proliferation Treaty (NPT) Safeguards Agreement and relevant provisions of United Nation's Security Council (UNSC) resolutions, 1737 (2006); 1747 (2007); 1803 (2008) and 1835 (2008) in the Islamic Republic of Iran" (Resolusi Mengenai Pelaksanaan Triti Pengawalan Nuklear (NPT) Perjanjian Perlindungan dan peruntukan berkaitan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) 1737 (2006); 1747 (2007); 1803 (2008) dan 1835 (2008) di Republik Islam Iran) yang dibentangkan Jerman dan disokong 25 negara anggota IAEA.
Malaysia bersama-sama Cuba dan Venezuela mengundi menentang resolusi itu manakala enam negara lain berkecuali.
"Malaysia sedang mengkaji hasil keputusan resolusi tersebut dan kesannya. Kita akan berusaha untuk terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa agar isu nuklear Iran dapat ditangani dengan lebih berkesan.
"Dalam hal ini, kita akan berbincang dengan negara-negara anggota Lembaga Gabenor IAEA serta negara-negara anggota PBB," demikian menurut kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan