Ahad, Disember 06, 2009

SAPURA LANCAR KEMPEN AGRESIF PASARKAN UAV

LANGKAWI, 5 Dis (Bernama) -- Selepas menembusi Thailand, Sapura Group kini bergiat cergas mencari pasaran baru di Asia, Eropah da Amerika Syarikat bagi Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV)nya.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Shahril Shamsuddin, berkata Sapura telahpun menjual beberapa unit UAV bertaraf dunianya di Thailand.

"Kami mempunyai produk ujian di AS dan Eropah, termasuk United Kingdom. Kami akan bergiat cergas untuk membuka pasaran-pasaran baru di Asia, Eropah dan AS," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) pada Sabtu.

UAV itu adalah sebahagian daripada suite sistem komunikasi selamat dan bersepadu Sapura yang baru dilancarkan di bawah jenama 1Network -- rangkaian pribumi pertama negara ini yang boleh menyepadukan komunikasi, maklumat, sumber dan aset pelbagai organisasi menjadi satu platform gabungan, yang membolehkan tindakan diambil dengan pasti dan tepat masa.

UAV itu adalah hasil pembangunan selama empat tahun di anak syarikat kumpulan itu yang berpangkalan di Perth, Cyber Technology, untuk mencipta produk inovatif bagi pasaran global.

Kenderaan ini boleh digunakan bagi pelbagai aplikasi termasuk tinjauan dan pengawasan bagi pelbagai sektor termasuk tentera, maritin serta minyak dan gas.

Dianggarkan bahawa nilai pasaran global bagi UAV dalam 10 tahun akan datang akan mencecah AS$14 bilion, dan negara-negara di Asia Pasifik dijangka menyumbang 355 unit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan