Sindiket Seludup PATI Disyaki Beroperasi Di Tawau
TAWAU, 2 Nov (Bernama) -- Satu sindiket membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (Pati) dipercayai beroperasi di sini ekoran penahanan ramai pendatang yang cuba meninggalkan daerah itu secara haram kebelakangan ini.
Ketua Imigresen Tawau Syamil Chelvam Shah Abdullah berkata siasatan awal mendapati kemungkinan wujud rangkaian antara Pati, orang tengah dan pengusaha feri untuk memudahkan pendatang meninggalkan Tawau mengikut laluan tidak sah.
"Kita sedang menjalankan siasatan secara mendalam," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan kejayaan jabatan itu menahan 33 lagi Pati dalam Ops Pelantar selama tiga jam di sini pagi Isnin.
Operasi melibatkan 15 anggota termasuk dua pegawai yang bermula 9.30 pagi tertumpu di kawasan "Batu" (tempat pendaratan bot-bot yang membawa penduduk dari Pulau Sebatik), Jeti Pasar, Safma dan kawasan Pusat Kuarantin, Kastam dan Imigresen (CIQ) Tawau.
Menurut Syamil Chelvam sindiket berkenaan dipercayai mengenakan sejumlah bayaran kepada pati yang ingin meninggalkan negara ini secara tidak sah menaiki feri untuk ke negara jiran.
"Siasatan mendapati Pati dibawa menaiki feri menggunakan pete-pete (sejenis perahu kecil berenjin sangkut) dari darat, dan bukannya melalui laluan sah yang disediakan," katanya.
Mengenai tangkapan hari ini, Syamil Chelvam berkata kesemua yang ditahan adalah warganegara Indonesia yang berumur antara empat tahun dan 59 tahun.
Beliau juga mengingatkan rakyat negara ini yang ingin keluar dari Tawau supaya menggunakan pasport Malaysia dan memastikan ianya dicop oleh pegawai Imigresen bertugas bagi mengelak mereka dikenakan tindakan.
"Rakyat Malaysia tidak boleh ke Indonesia dengan hanya menggunakan MyKad," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan