Khamis, Ogos 06, 2009

MIMPI JUMPA EMAS BAWA PELOMBONG CINA KE KELANTAN PADA 1429

image GUA MUSANG, 5 Ogos (Bernama) -- Kerana bermimpi berjumpa dengan emas yang banyak, sekumpulan peniaga dan pelombong dari China telah datang ke Gua Musang pada 1429, 24 tahun setelah Laksamana Cheng Ho mendarat di Melaka.

Pengarah Tourism Kelantan Muhammad Zaki Talib berkata kemasukan mereka ini dapat dibuktikan berdasar catatan tulisan Cina purba pada sebuah patung di tokong Cina di Kampung Pulai di sini.

image "Tulisan itu dicatat pada patung Quan Ying iaitu patung dewa wanita di dalam tokong itu yang tertulis tarikh penempatan dan sejarah mereka datang ke Kelantan," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Beliau berkata menurut penduduk Cina setempat, penghijrahan itu bermula apabila mereka bermimpi menemui emas yang banyak di Tanah Melayu yang menjadi pencetus untuk mereka berpindah dari China ke sini.

image "Mereka mula tiba di Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan di sini dan mudik menggunakan kapal melalui Sungai Kelantan sehingga tiba di Gua Musang," katanya.

image Walaupun Laksamana Cheng Ho merupakan bangsa Cina pertama datang ke Tanah Melayu pada tahun antara 1405-1407, namun peniaga dan pelombong itu mungkin kumpulan berbangsa Cina yang pertama berhijrah ke Kelantan, kata Muhamad Zaki.

Beliau berkata perbincangan sedang dijalankan antara Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk menjadikan tokong itu sebagai warisan negara.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, dalam lawatannya ke Kelantan bulan lepas, menyatakan hasrat untuk menjadikan tokong itu sebagai antara destinasi pelancongan yang menarik kerana ia merupakan antara tokong tertua di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan