KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Isnin meluluskan pindaan Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1994 yang menyaksikan pewujudan 12 hutan simpan yang baru.
Hutan simpan yang akan diwujudkan itu ialah hutan simpan Gomantong-Geluang- Gesusu, hutan simpan Bukit Hampuan, hutan simpan bukau Api-Api, hutan simpan Ganui, hutan simpan Deramakot, hutan simpan Pulau Tabun dan Pulau Saranga, hutan simpan Khazanah, hutan simpan Batu Punggul, hutan simpan Bakau Pulau Malawali, hutan simpan Sungai Lasun dan Pulau Evans, hutan simpan dara Sepilok dan hutan simpan Kerangas.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nasrun Datu Mansur yang membentangkan rang undang-undang itu berkata keluasan hutan simpan baru berkenaan ialah 9,706.790 hektar.
Beliau berkata kerajaan negeri juga mengkelaskan semula dua hutan simpan sedia ada iaitu hutan simpan komersial Sipitang Kelas II dan hutan simpan Imbak Kanyon kelas II kepada hutan simpan kelas I (Perlindungan).
Selain itu, Nasrun berkata pindaan itu turut mewartakan semula empat hutan simpan yang sedia ada bagi tujuan penyelarasan dan pengemaskinian kepada Jadual Enakmen Hutan 1984.
Katanya hutan itu ialah hutan simpan Sapagaya Kelas I (Perlindungan), hutan simpan kebun Cina Kelas IV (Ameniti), hutan simpan Rumbia Kelas IV (Ameniti) dan hutan simpan Kelawat Kelas I (Perlindungan).
Nasrun berkata dengan pewujudan kesemua hutan simpan itu, hutan simpan kekal kerajaan negeri Sabah akan bertambah keluasannya dari 3,594,366.000 hektar kepada 3,604,894.876 hektar atau lebih kurang 49 peratus daripada keluasan negeri Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan