Keselamatan Perlu Diutamakan Dalam Dasar Nuklear
PETALING JAYA, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada isu keselamatan apabila membuat satu draf dasar nuklear bagi negara ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia (WECAM) S. Piarapakaran.
Perkara itu tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan memerlukan satu kajian mendalam dan berbincang dengan semua pemegang saham, katanya.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili bahawa draf dasar tenaga alternatif yang termasuk penggunaan tenaga nuklear kini berada di peringkat akhir dan akan disiapkan menjelang tiga bulan akan datang.
Piarapakaran memberitahu Bernama hari ini kebocoran pada reaktor nuklear adalah bahaya dan perlu ditangani kerana ia bukan sahaja memudaratkan manusia tetapi juga kepada alam sekitar.
Kesan daripada pencemaran nuklear juga memakan masa yang lama seperti yang dapat dilihat di Hiroshima dan Nagasaki," katanya.
Katanya negara yang maju dalam nuklear seperti Perancis juga berdepan dengan masalah untuk mengurangkan kebocoran.
"Terdapat 115 kebocoran pada loji nuklear dilaporkan tahun lepas di negara itu," katanya.
Untuk keselamatan "sistem pelupusan bahan buangan yang tidak boleh dipertikaikan perlu diadakan jika Malaysia tidak mahu terdedah kepada sasaran pengganas yang mencari produk nuklear kerana dengan hanya 5kg sisa nuklear sudah mencukupi untuk membuat senjata nuklear yang boleh membawa kemusnahan.
Piarapakaran berkata Malaysia perlu melatih sekumpulan pakar tenaga nuklear terlebih dahulu "sebelum memulakan perjalanan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan pembangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan