BEIJING 15 Mei - Doktor di barat daya China berjaya mengeluarkan sebutir peluru dari dalam kepala seorang wanita bagi menamatkan penderitaan yang dialaminya sejak ditembak 42 tahun lalu.
Pasukan perubatan di sebuah hospital di kawasan perbandaran Chongqing mengeluarkan peluru sepanjang 2.5 sentimeter itu dari pelipis kanan He Wenying semalam, lapor Chongqing News hari ini.
Wenying, 65, terkena peluru yang melantun itu semasa pertempuran bersenjata antara puak-puak bersengketa semasa bermulanya Revolusi Kebudayaan yang berlarutan antara 1966 hingga 1976.
Doktor pada mulanya memberitahu wanita itu lukanya tidak dalam, tetapi dia mengadu mengalami sakit kepala yang berterusan dan kesukaran untuk makan.
Akhirnya gambar x-ray yang diambil pada 1978 menunjukkan peluru berkenaan terbenam dekat rahang dan telinga kanannya.
Namun begitu, ibu beranak tiga yang bekerja sebagai akauntan itu tetap enggan menjalani pembedahan disebabkan kemudahan perubatan yang kurang baik di Chongqing dan sebaliknya terus menahan sakit kepala yang semakin teruk.
Awal tahun ini, kesakitannya mula merebak ke seluruh badan sehingga memaksa pembedahan dijalankan semalam, menurut laporan itu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan