Khamis, April 30, 2009

PENDUDUK TIDAK BERPUAS HATI PEMILIHAN AJK JKKK DIGESA MENGEMUKAKAN BANTAHAN TERUS KEPADA PEJABAT DAERAH

Penduduk digesa bantah terus ke Pejabat Daerah

TENOM 29 April - Penduduk yang tidak berpuas hati dengan pemilihan ahli baru Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa mengemukakan bantahan secara terus kepada Pejabat Daerah di sini.

image Pegawai Daerah Tenom, Faimin Kamin berkata, pejabat itu terbuka kepada kritikan dan sebarang cadangan membina untuk kepentingan semua pihak.

''Kita sedia menerima bantahan yang membina dan berasas supaya kita dapat memperbetulkan kelemahan itu," katanya.

Beliau diminta mengulas rungutan penduduk Kampung Ulu Entabuan, Mantailang dan Natanduan yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan JKKK minggu lalu.

Faimin berkata, pihaknya tidak berniat untuk menyisih mana-mana pihak dalam proses pemilihan itu.

Katanya, proses pemilihan itu dibuat bagi memastikan ahli JKKK mampu memainkan peranan sebagai wakil kerajaan dalam memaju dan membangunkan kampung di negeri ini.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Ulu Entabuan, Salam Mokti, 50, mendakwa proses pemilihan JKKK kampung berkenaan tidak telus kerana menggunakan senarai pemilih berdaftar yang tidak disahkan terlebih dahulu.

''Kami membantah kerana ada perwakilan berusia di bawah 18 tahun turut dibenarkan mengundi tetapi bantahan kami tidak diendahkan," katanya.

Pemilihan JKKK Kampung Ulu Entabuan itu bagaimanapun dimenangi muka baru, Sabrinus Gapit yang mendapat 67 undi, menewaskan Mohd. Redzuan Abdullah yang mendapat 43 undi.

Proses pemilihan JKKK di Kampung Mantailang turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk yang mendakwa terdapat orang luar telah didaftar menjadi perwakilan.

Pada pemilihan itu, penyandang, Gaidim Lajah mendapat 23 undi menewaskan muka baru Majakum Mathew yang mendapat 21 undi.

Di Kampung Natanduan, pemilihan menjadi kecoh apabila pengurus pemilihan memberi kemenangan percuma kepada penyandang, Taripin Tutukong selepas mesyuarat itu dibatalkan kerana tidak cukup ahli.

Penduduk mendakwa, pemilihan itu sepatutnya ditangguh dan bukannya dibatal sekali gus memberi kemenangan percuma kepada Taripin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan