Khamis, April 30, 2009

KERAJAAN SABAH DIMINTA PERCEPATKAN PROSES PERMOHONAN TANAH

Tan Sri NABAWAN, 30 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup meminta kerajaan Sabah mengkaji semula kaedah pemprosesan permohonan tanah bagi memastikan tidak ada lagi kes permohonan tertangguh yang mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

Beliau berkata pencerobohan yang berlaku di tanah kerajaan di negeri itu mempunyai kaitan dengan kelewatan pemprosesan permohonan tanah.

"Sebab itu, kaedah baru perlu digubal untuk kebaikan semua," katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah di sini Khamis.

Kurup, yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah sistem pemetaan yang lebih tepat dan memendekkan masa proses permohonan tanah.

Beliau berkata isu tanah yang sering menimbulkan masalah kepada rakyat di luar bandar perlu diselesaikan dengan segera kerana ia melibatkan wawasan kerajaan untuk membasmi kemiskinan yang masih lagi mencengkam penduduk.

Katanya kaedah yang diamalkan sekarang telah menyebabkan banyak permohonan tanah tertangguh sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan