Hantar pulang banduan asing ke negara asal
2011/05/01 Cadangan bakal dibentang di Parlimen tidak lama lagi
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar daripada 9,300 banduan asing yang kini berada dalam penjara di seluruh negara akan dihantar pulang ke negara asal mereka secara berperingkat.
Proses itu dicadangkan Jabatan Penjara dan kini menunggu masa dibentangkan di Dewan Rakyat untuk perbahasan pada sesi persidangan akan datang sebelum digubal sebagai Akta Pemindahan Banduan Antara Negara.
Ketika ini, jumlah warga asing membabitkan 30 peratus daripada 34,400 keseluruhan banduan yang ditempatkan di 31 penjara dan pusat tahanan seluruh negara dengan sebahagian besar daripada mereka warga Indonesia seramai kira-kira 6,000 orang.
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar, ketika mengulas perancangan itu, berkata pihaknya sudah bersedia melaksanakan undang-undang baru itu sekiranya ia diluluskan.
“Apabila ada akta, baru kita boleh buat perjanjian dengan negara asal banduan berkenaan berasaskan konsep sama-sama menang. Maknanya, kedua-dua negara terbabit secara langsung dalam melaksana program ini.
“Pelaksanaan sistem ini akan menjadi agenda besar jabatan ini di peringkat antarabangsa dalam usaha kita menjadikan Penjara Malaysia bertaraf dunia,” katanya kepada Berita Minggu.
Ketika ini, kerajaan menanggung kos RM325,000 sehari membabitkan keseluruhan 9,300 banduan warga asing, meliputi kos rawatan, pemulihan, pegawai serta keperluan lain. Jika separuh daripada mereka dihantar pulang menjalani hukuman atau pemulihan di negara asal, kerajaan mampu menjimatkan RM162,000 sehari atau hampir RM2 juta setahun.
Pada peringkat awal, Jabatan Penjara akan mengutamakan banduan yang boleh menjalani hukuman di negara asal berdasarkan sistem sama, misalnya sistem parol yang membenarkan banduan menghabiskan tempoh hukuman di luar tembok penjara.
“Kalau negara mereka ada sistem sama (parol), ia sebenarnya lagi mudah. Contohnya Thailand, Iran dan Arab Saudi guna sistem parol. Di Indonesia, mereka ada sistem lain tetapi fungsinya hampir sama. Apa yang penting kita utamakan banduan yang insaf, mahir dan boleh berdikari dengan harapan mereka tidak mengulangi jenayah lagi,” katanya.
Penghantaran pulang banduan warga asing juga boleh mengurangkan kesesakan di penjara tertentu seperti di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu yang dipenuhi banduan asing.
Walaupun jumlah keseluruhan 34,400 banduan sedia ada masih di bawah kapasiti penjara yang boleh memuatkan 41,000 tahanan, masalah kesesakan masih berlaku di penjara tertentu kerana banduan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.