Isnin, Julai 16, 2012

ELAK DARI JADI MANGSA RAGUT SIBER

Helah 'si pegawai polis'

TEKNOLOGI internet tanpa wayar memudahkan penjenayah menggunakan teknik spoofing untuk mendapatkan wang dengan cara mudah. - Gambar hiasan

PERCAYA atau tidak, orang ramai boleh menjadi mangsa ragut siber hanya melalui satu panggilan telefon.

Teknik penipuan yang dikenali sebagai spoofing itu membolehkan si pelaku memperoleh habuan mencecah jutaan ringgit dengan melakukan satu panggilan telefon untuk memperdaya mangsa.

Spoofing ialah teknik pemanggil berkomunikasi menggunakan aplikasi Protokol Internet Suara Latar (VOIP) bagi membolehkan mereka meletakkan sebarang nombor pada skrin telefon mangsa.

Sebagai contoh, jika pemanggil mendakwa dia membuat panggilan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), telefon mangsa akan memaparkan nombor telefon bank pusat tersebut.

Ini menyebabkan mangsa percaya si pemanggil ialah seorang yang jujur tanpa menyedari penipuan yang sedang dirancang.

MANGSA yang terpedaya bertindak memindahkan kesemua wang mereka ke dalam akaun sindiket.

Terpedaya

Impak panggilan palsu ini bukan sedikit. Di China, seorang wanita bernama Zhou kerugian hampir RM2.1 juta selepas menerima panggilan telefon daripada sebuah jabatan polis di Beijing pada 4 Mei lalu.

Zhou memberitahu, pemanggil menggunakan nombor kod panggilan bandar raya itu yang bermula dengan angka 010 sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis daripada jabatan siasatan ekonomi.

“Pemanggil memberitahu, terdapat pengeluaran melebihi had melalui akaun sekuriti sosial saya dan khuatir ia mempunyai kaitan dengan kes penggubahan wang haram. Dia meminta saya memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” ujarnya.

Zhou bertindak bijak dengan tidak memberikan persetujuan secara langsung ketika panggilan dibuat tetapi dia sebaliknya membuat semakan nombor si pemanggil melalui direktori Yellow Pages dan mendapati ia nombor telefon Jabatan Polis Beijing.

Selang beberapa minit selepas itu, si pemanggil menelefonnya kembali dan kali ini, Zhou benar-benar percaya dengan kesahihan maklumat yang diberikan.

Zhou kemudian memindahkan kesemua wang milik keluarganya termasuk wang yang dipinjam daripada saudara dan kenalan rapat ke dalam satu akaun yang ditawarkan oleh pemanggil terbabit.

Seorang pakar antipenipuan Internet di jabatan polis berkenaan, Wei Jian, berkata, pemanggil mengambil kesempatan melalui perkhidmatan yang ditawarkan di Internet untuk melakukan jenayah spoofing.

“Setakat ini, kita sudah menahan 270 suspek membabitkan 1,780 kes dan berjaya menyelamatkan RM4.5 juta daripada dicuri melalui teknik spoofing,” jelasnya.

Menurut Jian, kebanyakan pemanggil dikesan menggunakan pelayan Internet dari luar negara.

Ternyata kegiatan penipuan menggunakan kaedah ini boleh menjadi satu ancaman serius, tidak terkecuali di Malaysia.

AHLI sindiket akan membuat panggilan secara rambang untuk mencari mangsa.

Polis

Malah, seramai 37 juta pemilik nombor telefon mudah alih di negara ini berdepan dengan risiko menjadi mangsa ragut siber iaitu istilah yang digunakan untuk merujuk pada jenayah spoofing.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian membabitkan spoofing mencecah RM60 juta sejak tahun 2008 hingga Mei lalu.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Komputer, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Supritendan Ahmad Noordin Ismail berkata, selain BNM dan PDRM, sindiket spoofing turut dikesan menggunakan nama bank-bank komersial tempatan.

“Sindiket ini juga memakai nama agensi kerajaan berpengaruh selain mahkamah,” katanya kepada Jurnal.

Jelasnya, kes tertinggi dilaporkan pada tahun 2010 iaitu sebanyak 1,201 kes membabitkan kerugian lebih RM20 juta.

“Biarpun terdapat penurunan sebanyak 91 kes pada tahun berikutnya namun jumlah kerugian dicatatkan meningkat sebanyak RM2.99 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM23.6 juta,” ujarnya.

Tambah Ahmad Noordin, untuk tahun ini sehingga Mei lalu sebanyak 325 kes dilaporkan dengan kerugian mencecah RM10 juta.

Katanya lagi, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu, di samping Akta Jenayah Komputer 1997 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP), Azli Paat berkata, dahulu spoofing hanya didalangi warga asing namun sekarang sudah ada kes yang melibatkan dalang dalam kalangan warga tempatan.

Jelasnya, mangsa akan dikelirukan dengan menggunakan VOIP bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor pada paparan nombor di skrin telefon bimbit mangsa.

“Kebiasaan peragut atau spoofer akan menyamar sebagai pegawai sesebuah agensi bagi meyakinkan mangsa bahawa akaun milik mangsa bermasalah dan perlu dibekukan,” katanya.

Tambah Azli, apa yang membimbangkan ialah teknik spoofing kian menular dan beliau menjangkakan jenayah membabitkan spoofing mampu dilakukan dengan hanya melepak sambil bersarapan di sebuah kedai kopi.

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

7 ulasan:

  1. Teknologi memang bawa kebaikan dan keburukan.

    BalasPadam
  2. sindiket penipuan kini makin menjadi, ditambah lagi dgn kecanggihan teknologi masa kini. kita perlu hati2.

    BalasPadam
  3. Mereka yang terlalu pintar tu gunakan kepandaian mereka dengan cara yang salah.

    BalasPadam
  4. Betul..Jangan terpedaya dengan penipuan dari internet.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jangan mudah terpedaya dengan hal2 di Internet.

      Padam
  5. paling senang, letak dulu talifon tu dan pergi ke balai polis untuk berurusan.. jika pihak polis cakap tidak ada panggilan dibuat untuk urusan itu, bermakna ada penipuan la..

    BalasPadam
  6. Perlu berhati-hati sekarang ni, semakin canggih teknologi semakin canggih juga penipuan.

    BalasPadam