Jumaat, Mei 04, 2012

PEMUDA NYARIS MAUT TERKENA LETUPAN GINSOK

‘Ginsok’ makan tuan

KENINGAU: Seorang penoreh getah kemungkinan buta apabila senapang buatan sendiri atau ‘ginsok’ yang dipegangnya tiba-tiba meletup dan merobek mata kanan, telinga dan sebahagian mukanya dalam kejadian di Kampung Gaulan, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakan masing-masing berusia 27 dan 29 tahun berada di sebuah pondok dan dipercayai baru menyiapkan senjata api itu, sebelum mangsa dikatakan mahu mencuba ketepatan senjata rekaannya yang tiba-tiba meletup dan serpihan senjata yang pecah itu mengenai mukanya kira-kira jam 6.30 petang.

Sumber berkata, kejadian itu menyebabkan Jainudin Kilip, 24, dari Kampung Kota Ayangan, cedera parah di kanan muka sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, rakan mangsa yang panik mengenai kejadian itu kemudian membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Kakitangan hospital yang curiga mengenai kecederaan mangsa membuat laporan polis sebelum rakan mangsa ditahan bagi membantu siasatan.

“Selepas disoal siasat, polis menemui tiga komponen senjata buatan sendiri di dalam semak dipercayai dibuang oleh kedua-dua mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed mengesahkan perkara itu dan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua lagi rakannya berada di dalam pondok kampung berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa berdiri di beranda pondok dan mahu mencuba ginsok yang dipercayai dibuat seorang daripada rakannya.

“Bagaimanapun, sebaik menarik picu, ginsok berkenaan tiba-tiba meletup menyebabkan mangsa cedera teruk pada sebahagian mukanya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, seorang daripada rakan mangsa mengaku membuat ginsok berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37, Akta Senjata Api 1960 kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan sah,” katanya.

Oleh Cleo Will

Tiada ulasan:

Catat Ulasan