Jumaat, Mei 11, 2012

“KITA MENGALU-ALUKAN WARGA ASING DATANG KE NEGERI INI TETAPI MEREKA PERLU MENGHORMATI UNDANG-UNDANG DAN BUDAYA KITA... MEREKA TIDAK BOLEH BERKELAKUAN SEPERTI SAMSENG DAN BERTINDAK KASAR.”

Warga Asing Dialu-Alukan Tetapi Perlu Hormati Undang-Undang Tempatan – Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memaafkan individu-individu yang terlibat dalam pergaduhan dengan pengawal peribadi rombongan diraja namun baginda meminta supaya warga asing menghormati undang-undang dan budaya tempatan serta tidak bertindak samseng.

“Kita mengalu-alukan warga asing datang ke negeri ini tetapi mereka perlu menghormati undang-undang dan budaya kita.

“Mereka tidak boleh berkelakuan seperti samseng dan bertindak kasar. Malah rakyat tempatan pun mesti menghormati undang-undang di mana mereka pergi,”

titah baginda kepada sidang media di Istana Pasir Pelangi, Khamis.

Menjelaskan secara terperinci mengenai apa yang berlaku antara para pengawal peribadi dan empat warga asing British, ekspatriat Jerman dan Perancis pada Sabtu, Sultan bertitah, baginda mahu menyelesaikannya kerana terdapat banyak versi tentang kejadian berkenaan.

“Bagi saya, perkara itu telah diselesaikan dan beta mengalu-alukan mereka semula,” titah baginda sambil menambah bahawa ekspedisi menyelam selama tiga hari di Pulau Rawa dicemari dengan pergaduhan.

Sultan Ibrahim yang kesal terhadap apa yang berlaku pada hari terakhir lawatan itu bertitah, baginda berada di kapar layar baginda dan hanya mendapat tahu mengenai pergaduhan itu pada hari berikutnya.

Ia dilaporkan dalam akhbar The Star mengenai empat warga asing terlibat dalam pergaduhan dengan pengawal peribadi selepas mereka menceroboh masuk ke dalam bot milik Sultan.

“Mereka juga cuba untuk menyerang salah seorang kru beta,” titah Sultan.

Baginda bertitah, warga asing terbabit sebenarnya menetap di resort bersebelahan di Alang, Rawa dan mereka muncul pada awal pagi.

“Saya percaya mereka telah bergaduh antara mereka kerana sebelum itu terdapat gelas pecah di bilik mereka dan salah seorang daripadanya cedera di kaki ketika terjun ke laut dari bot beta dan terkena pada batu karang,” titah baginda.

“Doktor saya merawat warga asing yang cedera tetapi saya kesal bagaimana isu tersebut disensasikan oleh media asing.”

Dua warga asing yang terlibat dalam pergaduhan itu dirawat di sebuah hospital di Singapura dan membuat laporan polis dan kedutaan masing-masing di republik itu.

Akhbar Singapura, The Straits Times memetik seorang warga Britain berusia 28 tahun sebagai berkata, mereka telah diserang oleh pengawal peribadi selepas mereka dijemput oleh keluarga diraja untuk minum.

Kedua-dua Suruhanjaya Tinggi British dan Kedutaan Besar Jerman mendapatkan maklumat berhubung kejadian dengan pihak berkuasa Malaysia.

Sebanyak sembilan laporan polis dibuat setakat ini.

Oleh NELSON BENJAMIN dan MOHD FARHAAN SHAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan