Khamis, September 22, 2011

JANGAN TERLALU TAKSUB MENGEJAR PENGIKTIRAFAN HINGGA SANGGUP BERTINDAK DI LUAR BATASAN

Sekolah taksub semua A ditegur

image Imbuhan Tawaran Baru ambil kira semua aspek bukan hanya peperiksaan

KUALA LUMPUR 2011/09/22: Sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam sehingga sanggup bertindak di luar batasan, ditegur kerana kecemerlangan institusi pendidikan bukan diukur dari segi pencapaian akademik saja.

Sebaliknya, pengiktirafan itu termasuk pemberian ganjaran kepada pengetua, guru besar dan guru di bawah Tawaran Baru, mengambil kira penilaian menyeluruh yang turut meliputi aspek pencapaian kokurikulum dan pelajar serta keberhasilan pembangunan modal insan selaras Falsafah Pendidikan Negara.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua dan guru besar harus bersikap lebih terbuka dalam memahami hasrat kementerian berhubung matlamat pendidikan berkualiti.

“Saya dukacita ada sekolah terlalu taksub seperti itu, sedangkan kementerian tidak menilai kecemerlangan sekolah hanya berdasarkan prestasi semua A dalam peperiksaan. Malah, ada sekolah yang bukan seluruh pelajarnya mendapat keputusan semua A, tetap berjaya menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

“Jadi, tindakan seperti menyekat calon tertentu menduduki peperiksaan awam bermakna menutup potensi yang ada serta menyebabkan masyarakat menjadi keliru,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Tiga calon Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, Sarawak, tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini kerana mereka didakwa lemah dan dibimbangi boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah itu.

(From left) Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine and Richmend Mangi from SK Bintangor in Sarawak were not allowed by the school to sit the Ujian Pencapaian Sekolah Rendah last week.Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine serta Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah ketika calon lain menduduki UPSR pada 13 dan 14 September lalu dan mereka hanya dibenarkan mendudukinya pada hari terakhir peperiksaan 15 September selepas ibu bapa membuat aduan polis.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) sudah membuat siasatan awal ke SK Bandar Bintangor Isnin lalu dan mengesahkan berlaku kejadian mengurung tiga calon terbabit.

“Kita masih menyiasat punca kejadian dan ketika ini, guru besar sekolah itu bertugas seperti biasa. JNJK dijangka menyerahkan laporan penuh hasil siasatan itu kepada saya akhir minggu depan. Kita akan meneliti dan membuat beberapa cadangan sewajarnya sebelum dikemukakan kepada menteri,” katanya.

Beliau berkata, tiga murid terbabit akan menduduki UPSR pada 3 hingga 5 Oktober di sekolah itu dengan pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sendiri yang akan bertindak sebagai guru pengawas.

Bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan, beliau berkata, kementerian akan mengeluarkan surat peringatan dari semasa ke semasa kepada pengetua dan guru besar mengenai pekeliling berhubung hak semua pelajar berdaftar menduduki peperiksaan.

image Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon turut kesal dengan kejadian itu yang disifatkan sebagai terpencil dan menggesa suatu peringatan dikeluarkan kepada semua sekolah bagi memastikan calon tidak dihalang menduduki peperiksaan.

“Pihak yang bersalah dalam perkara ini mesti dikenakan tindakan sesuai untuk dijadikan amaran dan menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya.

10 ulasan:

  1. Sekolah seperti ini sangat tidak bertanggungjawab, sanggup mengorbankan 3 orang murid semata-matanya mendapatkan pengiktirafan.

    BalasPadam
  2. Pihak sekolah sepatutnya membantu menyediakan murid-murid yang lebih lemah untuk menghadapi ujian, bukan meminggirkan mereka dan menghalang mereka mengambil ujian. Kecewa dengan perbuatan ini.

    BalasPadam
  3. sekarang bukan pula pengiktirafan yang sekolah ni perolehi tapi imej buruk.

    BalasPadam
  4. jadikan ini sebagai pengajaran.

    BalasPadam
  5. jika nak mendapat pengktirafan, perlu ada usaha, tak perlu bertindak sehingga menghalang murid menghadapi peperiksaan, sepatutnya mereka membantu murid2 tersebut untuk lebih berjaya dalam pembelajaran.

    BalasPadam
  6. pelajar yang lemah harus diberikan lebih perhatian dan dibimbing dengan sebaiknya..

    BalasPadam
  7. apa yang telah berlaku harus dijadikan pengajaran dan tanggungjawab harus dilaksanakan dengan sebaiknya.

    BalasPadam
  8. Kesian pelajar yang tidak dibenarkan menduduki peperiksaan ini kerana pihak sekolah yang lebih mengutamakan prestasi dari kepentingan pelajar tersebut.

    BalasPadam
  9. Kerana mementingkan prerstasi nama sekolah sendiri buruk kerana mengugurkan pelajar mengambil UPSR hanya kerana takut pelajar tersebut menjejaskan keputusan peratus UPSR sekolah.

    BalasPadam
  10. jika kes ini tidak dilaporkan, entah apa akan jadi terhadap budak2 ni.. untuk kebaikan pelajar2 di sekolah tersebut, kementerian pendidikan wajar mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja bertindak diluar batasan..

    BalasPadam