Isnin, Ogos 29, 2011

LAGI MANGSA SIMBAHAN ASID: LELAKI PENJUAL MURTABAK DAN SEORANG SURI RUMAH

Isteri simbah cuka getah

PARAH...mangsa melecur pada muka dan badan  akibat disimbah asid oleh isterinya. PARAH...mangsa melecur pada muka dan badan akibat disimbah asid oleh isterinya.

KOTA BHARU: Seorang peniaga murtabak melecur di muka dan separuh badan manakala mata kanannya kabur akibat disimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah oleh isterinya selepas mereka bertengkar dalam kejadian di Kampung Kok Lanas di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mahyudin Abdullah, 47, sedang menguli tepung roti canai di rumahnya untuk dijadikan doh sebelum dijual kepada pelanggan di bazar Ramadan Kok Lanas.

Ketika asyik menguli tepung roti canai itu, tiba-tiba datang isterinya membawa sejenis cecair dipercayai asid dalam sebuah bekas sebelum menyimbah ke arahnya menyebabkan mangsa menggelupar kepanasan.

Insiden itu menyebabkan mangsa dikejarkan ke sebuah klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa menaiki sebuah ambulans ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berikutan keadaannya yang kritikal.

Difahamkan, perselisihan faham berkenaan berlaku dua hari lalu, menyebabkan isteri mangsa yang berusia 40-an nekad menyimbah cuka getah ke tubuh suaminya.

----

Suami diikat, isteri disimbah asid dalam kereta

ALOR SETAR: Sambutan Aidilfitri buat sebuah keluarga bertukar suram apabila ibu kepada empat anak kini terlantar selepas melecur pada badan dan muka dipercayai akibat disimbah asid di Guar Chempedak, dekat Yan, kelmarin.

Mangsa, Rosnani Husin, 53, dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, selepas melecur 30 peratus pada muka, leher, paha dan belakang badan. Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang juga kakitangan kerajaan bersama suaminya, 50-an, dikatakan keluar menaiki Proton Waja kerana mempunyai urusan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pasangan suami isteri itu ditahan dua lelaki tidak dikenali sebaik tiba berhampiran sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut.

Menurutnya, pasangan itu kemudian bersetuju menumpangkan kedua-dua lelaki terbabit yang meminta ditumpangkan kerana mendakwa kenderaan mereka kehabisan minyak.

“Ketika dalam perjalanan dari Jalan Baru ke Bukit Besar melalui Jalan Permatang Buluh, lelaki terbabit tiba-tiba mengacu sebilah pisau kepada mangsa dan mengikat suaminya sebelum ditolak di tepi jalan berkenaan.

“Mereka meneruskan perjalanan dan kira-kira 50 kilometer dari kawasan itu, suspek memberhentikan kereta lalu menyimbah asid ke muka mangsa lalu meninggalkannya bersama kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, si suami ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat di tepi jalan oleh orang awam manakala kereta dan mangsa ditemui polis di Guar Chempedak.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan sebelum dikejarkan ke wad kecemasan HSB selepas didapati melecur pada sebahagian badannya.

5 ulasan:

  1. semakin menjadi2 kes simbah asid ni. isteri pun sanggup menyimbah asid di muka suaminya hanya disebabkan perselisihan dan saya pasti perselisihan tersebut boleh diselesaikan dengan cara yang baik.

    BalasPadam
  2. What goes around will comes around. So be it.

    BalasPadam
  3. Harap pihak polis akan tingatkan usaha untuk menangani kes-kes simbah asid ini. Semakin hari, semakin banyak mangsa yang terkena.

    BalasPadam
  4. tidak ada cara lain menangani gejala simbah asid ini kerana benda ini senang didapati dan digunakan setiap hari.. mungkin jenayah ini boleh dihentikan dengan menjatuhkan hukuman yang sama berat yang ditanggung oleh mangsa.. iaitu dengan menyimbah asid ke muka pesalah..

    BalasPadam
  5. Kenapa semakin membimbangkan kes jenayah di Negara kita ini. Semakin serius nampaknya. Mana pihak berkuasa. Bukankah ini akan menyusahkan orang lain lagi nanti yang ingin meminta pertolongan jika perkara inilah yang berlaku.

    BalasPadam