Presiden Tunisia lari ke Jeddah
Kumpulan penunjuk perasaan Tunisia mengelak serangan selepas polis membedil bom asap ke arah mereka di Tunis semalam.
TUNIS – Tunisia diselubungi huru hara dengan Perdana Menteri Mohammed Ghannouchi melantik dirinya sebagai pemangku Presiden ketika tentera mengambil alih kawalan di ibu kota Tunis, serta beberapa lapangan terbang utama negara itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Terdahulu, dalam satu kenyataan, keadaan darurat telah dikuatkuasakan di Tunisia.
“Pasukan polis dan tentera diberi kuasa untuk menembak mana-mana orang disyaki yang gagal mematuhi arahan atau melarikan diri daripada diperiksa,” kata kenyataan itu.
Perintah darurat diisytihar selepas Presiden Tunisia, Zine al-Abedine Ben Ali yang pro-Amerika Syarikat (AS) tumbang dalam siri bantahan berdarah golongan pelajar pada malam kelmarin dan beliau telah meninggalkan tanah airnya.
Zine al-Abedine tumbang selepas beliau memerintah Tunisia secara kuku besi selama 23 tahun.
Sumber di Arab Saudi memberitahu, presiden berkenaan pada mulanya berlepas ke Perancis tetapi dilaporkan tidak diberi kebenaran memasuki negara itu oleh Presiden Nicolas Sarkozy.
Menurutnya, sebuah pesawat yang membawa Zine al-Abedine selamat mendarat di kota Jeddah, Arab Saudi pagi semalam.
Drama penyingkiran Presiden Tunisia itu bermula empat minggu lalu apabila bantahan golongan pelajar merebak ke seluruh negara dan akhirnya sampai ke ibu negara pada Khamis lepas.
Rata-rata rakyat sudah bosan dengan pemerintahan diktator Zine al-Abedine tetapi kemuncak kemarahan mereka berpunca daripada kegagalan pemerintah mengekang kenaikan mendadak barangan keperluan asas seperti susu, roti dan gula yang amat membebankan orang ramai.
Tanpa mengendahkan perintah berkurung dan janji presiden mereka untuk tidak bertanding bagi penggal keenam pada pilihan raya 2014, puluhan ribu penunjuk perasaan keluar memenuhi jalan-jalan raya di sini sejak semalam.
Sebahagian mereka bertindak liar dengan memanjat bumbung, memecah masuk dan membaling batu ke arah bangunan-bangunan pemerintah terutama bangunan Kementerian Dalam Negeri.
Bagaikan medan perang, kepulan asap menyelubungi ibu kota Tunisia semalam selepas polis melepaskan bom asap dan menggunakan kekerasan bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Menurut satu laporan terbaru, polis menembak mati 13 orang lagi menjadikan angka kematian sejak kebangkitan rakyat Tunisia tercetus beberapa minggu lalu meningkat kepada 80 orang. – Agensi
----
Leila tak ikut suami, kini berada di Dubai
TUNIS: Bekas wanita pertama Tunisia, Leila Ben Ali yang secara meluas banyak disamakan dengan Imelda Marcos dari Filipina, tidak bersama melarikan diri dengan suaminya Zein El Abidine Ben Ali ke Arab Saudi, sebaliknya dikatakan berada di Dubai, destinasi beli-belah sering dikunjunginya.
Akhbar Britain The Telegraph melaporkan semalam, Leila yang berusia 20 tahun lebih muda daripada suaminya yang berusia 74 tahun dan dikenali sebagai kuasa di sebalik takhta, dikatakan melarikan diri lebih dulu ke Dubai.
Bekas pendandan rambut itu yang berasal dari keluarga sederhana, dituduh menggunakan perkahwinannya dengan Ben Ali untuk mengubah nasib keluarganya Trabelsis untuk menjadi antara keluarga terkaya di Tunisia.
Leila menonjolkan dirinya sebagai antara ahli politik wanita Arab paling progresif dan banyak mengetuai yayasan amal dan memperjuangkan hak wanita.
Namun di sebaliknya, penonjolan awam itu bekas wanita pertama itu mengejar agenda yang dikatakan menyamai tindak-tanduk Imelda Marcos. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan